Wednesday, October 19, 2011

MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI


FOKUS BAJET 2012 DALAM BIDANG INOVASI
Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta ringgit seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;
Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.
Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.
Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun

Friday, September 9, 2011

Membangunkan Kreativiti


Terlalu banyak permintaan dari individu segenap pelusuk daerah untuk menyertai kursus kreativiti yang diterima melalui surat, email serta telefon dan saya ingin merakamkan jutaan terima kasih diatas minat dan komitmen yang ditunjukkan. Saya sentiasa memohon petunjukNya agar dipermudahkan urusan dunia ini semoga dilipat gandakan lagi umat yang maju memartabatkan agama, bangsa dan negara melalui pembangunan teknologi.

Tuhan amat menggalakkan penguasaan ilmu dikalangan umatnya. Melalui penguasaan ilmu yang tinggi diadun dengan ketakwaan kepada Tuhan, tidak dapat disangkal lagi merupakan acuan terbaik untuk melahirkan satu umat yang berkualiti dan disegani oleh manusia. Kita telah menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana umat islam ditindas oleh rejim asing diseluruh pelosok dunia. Walaupun negara-negara Islam umumnya memiliki kekayaan sumber asli iaitu telaga minyak yang menjadi bahan terpenting didunia masa kini namun kekayaan tersebut tidak dapat menjamin kesejahteraan yang berkekalan.

Kesejahteraan tersebut tidak dapat berkekalan kerana mereka memperolehi kekayaan tersebut melalui warisan. Ibarat seorang bapa yang bertungkus lumus sepanjang hayatnya untuk membina empayar perniagaan dan selepas beliau meninggal dunia, maka anak-anaknya akan mewarisi harta tersebut secara wasiat. Jika sepanjang hidup bapa tersebut beliau membimbing warisnya agar jatuh bangun bersama syarikatnya, maka anak tersebut bukan sahaja mewarisi harta benda tetapi yang terpenting ialah pengetahuan dan pengalaman. Anak ini berpotensi besar untuk memajukan empayar tersebut yang diwarisi dari ayahnya kerana beliau mempelajari dan mengalami sendiri erti peritnya kegagalan. Beliau akan mencatat dalam memorinya berhubung kegagalan tersebut, mengenalpasti punca kegagalan dan faktor-faktor berkaitan. Beliau nescaya sukar untuk melupakan pengalaman tersebut lantas menjauhi langkah-langkah yang menjurus kepada pengulangan kegagalan tersebut. Sebaliknya jika seorang bapa mewariskan perniagaan dan hartabenda kepada anak yang tidak memiliki pengetahuan dan pengalaman, maka seringkali harta benda yang dihimpun melalui keringat bapa akan kering dalam sekelip mata.

Seandainya negara-negara Islam sejak dari dahulu mewariskan ilmu pengetahuan dan pengalaman terbaik kepada rakyatnya, nescaya kekayaan yang dianugerahkan Tuhan akan bertambah dan bercambah menjadi kuasa ekonomi dunia dan seterusnya menguasai politik serta sosial. Tidak mungkin penjajah asing dapat memanipulasi kepintarannya untuk menguasai pentas pemerintahan dunia. Amerika, Britain, Jerman, Perancis dan China memegang tampuk kuasa besar dunia. Dimanakah kedudukan negara Islam? Negara-negara ini membina kekuatan mereka melalui ilmu pengetahuan. Negara Islam pula membina kekuatan melalui kekayaan. Nyata kebenaran metafora yang dikemukakan di atas bahawa kekayaan tidak dapat menandingi pengetahuan yang dimiliki. Itulah jawapannya mengapa negara Islam tidak dapat memimpin negara-negara didunia ini.

Jelas umat islam didunia ini gagal memikul amanah Allah s.w.t. untuk menyebarkan agama kebenaran kepada umat-umat yang tersesat. Sebagai penganut agama yang dianugerahkan kitab terlengkap iaitu Al-Quran, umat islam sedia maklum betapa perit dan getirnya cabaran para nabi dan rasul memikul tanggungjawab menyebarkan kebenaran Tuhan yang esa. Kerana mereka yakin bahawa Tuhan menjadikan mereka sebagai penyebar agama kebenaran kepada umat yang tersesat. Komitmen para anbia tersebut untuk menjalankan amanah Tuhan memerlukan mereka berfikir langkah terbaik agar usaha mereka membuahkan hasil dan tidak sia-sia. Maka komitmen inilah yang menghasilkan kreativiti. Dibantu oleh mukjizat yang dikurniakan Allah, para anbia tidak henti-henti berfikir cara terbaik untuk mengatasi masalah yang mengundang dari segenap sudut.

Tanggungjawab menyebarkan agama kebenaran Allah tidak terhenti diperingkat rasul, nabi dan para sahabat sahaja. Tanggungjawab tersebut kini terletak dibahu setiap umat Islam sehingga ke hari ini. Malahan kita juga tidak dikecualikan. Tetapi apakah yang telah kita lakukan dan setakat hari ini sudahkah kita memenuhi tanggungjawab tersebut? Jika direnung kembali dalam keadaaan tenang, kebanyakan kita memohon agar dihimpunkan sebagai penganut yang bertakwa dan beriman kepada Allah. Setiap hari kita memohon agar Allah menerima amalan kita. Hidup kita hanya berkisar tentang kepentingan diri sendiri berhubung penerimaan amalan. Jika begitu, siapa yang menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan Allah untuk menyebarkan agama kebenaran kepada umat yang tersesat amalannya?

Tujuan persoalan global tersebut dikemukakan ialah mengajak pembaca semua menggerakkan minda melalui asas kreativiti. Diharapkan agar pembaca semua dapat memahami intipati kandungan tersebut dan amat digalakkan untuk memberi respons yang kreatif sebagai santapan ilmu yang boleh dikongsi bersama melalui email. Selagi setiap individu itu bernafas dimuka bumi ini, tiada siapa yang dapat menafikan haknya untuk menghasilkan pendapat. Inilah diantara asas utama pendekatan kreativiti.

Mudah-mudahan pembaca sekelian dapat membantu saya mempromosi ruangan motivasi kreativiti ini kepada teman-teman, ahli keluarga dan rakan sekerja untuk mempelbagaikan respons yang kreatif. Melalui kaedah ini ia dapat membantu memudahkan kita semua untuk bermula secara sendiri dalam menghimpunkan kelompok yang berpotensi berfikir secara kreatif. Sebagai aktivis sosial sokongan saudara-saudari untuk memperkenalkan laman web www.zulldesign.com.my  kepada khalayak ramai merupakan sumbangan yang amat besar terhadap pembangunan insan dan Insya Allah mampu menjadi pemangkin terhadap usaha mempertingkatkan kreativiti rakyat negara ini.

Wednesday, September 7, 2011

A Great Teacher


The mediocre teacher tells.
The good teacher explains.
The superior teacher demonstrates.
The great teacher inspires. 

Tuesday, August 30, 2011

Guru dan Ramadhan


Selamat Hari Raya kepada semua pembaca blog ini.
Sebulan kita berpuasa dan kita telah berusaha untuk menghindari perkara yang dilarang oleh Allah. Setiap amalan positif yang kita amalkan merupakan integriti dalam kehidupan kita, khususnya sebagai seorang guru.
Perubahan tersebut banyak mengajar kita erti seorang guru, yang sewajibnya menjadi nilai kita. Alangkah bagusnya jika perubahan nilai yang kita lakukan sepanjang bulan ramadhan ini dapat terus kita amalkan sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir.
Nikmat menjadi seorang guru yang benar-benar ikhlas dalam mendidik amatlah mulia dimata manusia dan disisi Alla
Terdapat hikmah di sebalik syariat Allah, khususnya puasa. Ada rahsia, hikmah dan tujuan puasa itu yang diketahui akal manusia. Namun ada juga yang tidak dapat dijangkau akal manusia. Berkenaan hikmah puasa, terdapat tidak kurang 12 jenis hikmah iaitu:
1. Puasa menyempitkan aliran makanan dan darah. Aliran yang sama digunakan syaitan. Maka bisikan syaitan menjadi lemah.
2. Puasa melemahkan nafsu, hasrat jahat dan keinginan berbuat maksiat. Ini membuatkan roh menjadi tidak ternoda dan kembali suci.
3. Puasa mengingatkan pelakunya perihal kewujudan saudara-saudaranya yang kelaparan, memerlukan bantuan dan yang fakir serta miskin. Kesedaran ini menyebabkan orang yang berpuasa mahu mengasihi, menyayangi dan menolong mereka.
4. Puasa juga adalah pendidikan jiwa, penyucian hati, pengendalian pandangan dan menjaga anggota tubuh daripada dosa.
5. Puasa juga adalah rahsia antara hamba dengan Tuhannya. Hal ini ditegaskan dalam hadis Qudsi. Allah berkata, "Setiap amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Puasa untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya."
6. Puasa adalah alat penyatuan kaum muslimin. Mereka berpuasa pada waktu yang sama dan berbuka puasa pada waktu yang sama. Mereka merasa lapar bersama dengan penuh persaudaraan. Penyatuan membuatkan mereka diliputi rasa cinta dan setiakawan.
7. Puasa adalah penghapus kesalahan dan kejahatan. Muslim merekodkan Rasulullah berkata "Dari Jumaat ke Jumaat yang lain, daripada umrah kepada umrah yang lain dan dari Ramadan ke Ramadan yang lain adalah penghapus dosa. Ini selagi dosa itu tidak termasuk dosa besat."
8. Puasa menyihatkan badan kerana ia mengosongkan perut daripada semua bahan yang merosakkan. Ia juga merehatkan pencernaan, membersihkan darah, menormalkan fungsi ginjal, hati dan jantung.
9. Apabila orang itu berpuasa, dirinya terasa kerdil di hadapan Allah, hatinya mudah tersentuh dan rasa tamak menipis. Nafsunya terkawal sehingga dengan demikian doanya dikabulkan kerana dekat dengan Allah. 


10. Dalam puasa terdapat rahsia agung iaitu ketaatan menyembah Allah. Muslim patuh atas segala perintahNya, tunduk kepada agamaNya, meninggalkan hasrat makan, minum dan bersetubuh hanya demi mencari keredhaan Allah.



11. Puasa adalah kemenangan muslim mengalahkan hawa nafsunya. Ia kemenangan muslim ke atas dirinya dan ia bukti kesabaran. Orang yang tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan, ia tidak mampu mengendalikan dirinya dan tidak dapat mengalahkan hawa nafsunya.
12. Puasa adalah latihan luar biasa jiwa supaya ia berada dalam keadaan bersedia 100 peratus. Jiwa yang tersedia ini mampu menanggung beban hidup sehingga Ramadan juga digelar sekolah istimewa. Selain itu dengan puasa, kita bersedia dan agung seperti jihad, mendermakan harta di jalan Allah dan berkorban.

Marilah kita bersama-sama menggenggam azam baru untuk menjadi seorang insan yang benar-benar menjalankan tanggungjawab dan amanah.

Monday, August 8, 2011

Guru Bahasa Inggeris Perlu Dinilai Melalui Peperiksaan


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian dijalankan berhubung pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah kerana penguasaan bahasa tersebut yang kurang baik dan ia bukan berpunca dari guru-guru.

Apa yang hendak diperkatakan lagi. Baru reda dengan pembatalan PPSMI, kini ia diungkit semula. PPSMI tempohari, salah satu daripada tujuannya ialah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Waktu Pengajaran&Pembelajaran Bahasa Inggeris disekolah memang tidak mencukupi, sebab itulah matematik dan sains di Bahasa Inggeriskan supaya pelajar diPAKSA menggunakan Bahasa Inggeris. Namun ketidaksabaran sesetengah pihak untuk melihat hasil telah melenyapkan impian tersebut.

Sebarang perubahan yang dilakukan disekolah hasilnya akan dicapai dalam masa 15-20 tahun.
Para pelajar kurang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik akibat kekurangan waktu P&P dan juga kegagalan guru yang mengajar Bahasa Inggeris menguasai bahasa tersebut dengan baik. Pasti ramai yang tidak bersetuju dan memarahi saya tetapi itulah kenyataannya. Perlukan bukti?

Untuk membuktikannya senang sahaja. Jalankan ujian Bahasa Inggeris kepada para guru dan lihatlah keputusannya. Berikan guru-guru Bahasa Inggeris ini soalan peringkat SPM. Ianya sudah memadai. Penguasaan guru-guru ini boleh diukur, maka laksanakanlah.

Negara kita memerlukan guru yang benar-benar memiliki ilmu pengetahuan yang sangat tinggi dalam bidangnya. Selepas itu guru-guru tersebut perlulah mempunyai komitmen yang setara untuk memindahkan ilmu tersebut kepada anak didiknya. Berapa ramaikah yang mempunyai ciri-ciri tersebut?

Saturday, May 28, 2011

Peningkatan Sahsiah Pelajar

Jangkawaktu kursus PLKN akan ditambah lagi kerana masa yang diperuntukkan selama 3 bulan pada masa kini didapati tidak mencukupi untuk peningkatan sahsiah peserta.

Pembangunan sahsiah memerlukan masa yang lebih panjang dari apa yang PLKN mahukan. Tidak ada bezanya peningkatan tambahan 2 bulan lagi. Pembangunan sahsiah memerlukan penerapan nilai-nilai murni dari bangku sekolah lagi. Sebab itulah dalam artikel sebelum ini saya menyarankan latihan PLKN dijalankan kepada para pelajar semenjak dibangku persekolahan.

Latihan PLKN yang dijalankan sekarang menelan belanja yang terlalu besar. Namun apakah kayu ukur kejayaannya? Saya pernah menghadapi masalah dengan seorang remaja yang memakai seluar PLKN baru-baru ini. Beliau meletakkan motorsikalnya dibahu jalan dan menghalang kenderaan lain. Bermaksud beliau mementingkan diri sendiri. Apabila saya menegur, beliau melenting dan mengajak saya bergaduh. Takkan lah hal sekecil itu pun pelatih PLKN tidak dapat fahami. Sekadar satu contoh tentang integriti yang ada pada remaja hari ini yang tidak berubah sejak dahulu lagi.

Mungkin pihakPLKN akan mengatakan bahawa tuduhan itu tidak berasas. Atau mungkin beliau bukan pelatih PLKN. Apa saja jawapannya, ternyata latihan PLKN yang dijalankan selama ini tidak mendatangkan kesan. Jika beliau bukan pelatih PLKN, maka persoalannya mengapa latihan tersebut tidak diwajibkan sahaja kepada semua bekas pelajar lepasan SPM.

Saya amat berharap agar latihan PLKN ini dijalankan dibangku persekolahan. Fikirkanlah mekanisma yang perlu dibuat agar pelajar-pelajar sekolah mempunyai masa yang mencukupi untuk meningkatkan sahsiah mereka. Guru-guru disekolah pada hari ini memang telah menanggung beban kerja yang amat berat dalam soal pembangunan akademik.Maka sumbangan jurulatih PLKN amat diperlukan untuk berganding bahu dengan guru untuk meningkatkan sahsiah mereka.

Monday, May 16, 2011

PLKN DALAM SEKOLAH

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
Sejak dimulakan pada tahun 2004, berbillion wang rakyat telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Tetapi saya tidak nampak hasil yang konkrit. Perpaduan kaum dinegara kita pada hari ini semakin merudum. Maka, apa justifikasi PLKN wajar diteruskan?

PLKN seolah tidak serius untuk mencapai matlamat yang diharapkan. Jika benar matlamatnya untuk membina sahsiah diri dan mengukuhkan perpaduan, maka mengapa pemilihan peserta dibuat secara rawak? Sepatutnya semua bekas pelajar pada tahun tersebut wajib terlibat kerana mereka semua yang akan memandu masa depan negara. 

Untuk memantapkan sahsiah diri pelajar dan mengukuhkan perpaduan, maka strategi PLKN perlu diubah. Program tidak perlu dijalankan selepas tamat Tingkatan 5. Perbelanjaan berbillion ringgit tersebut wajar digunakan untuk melatih sahsiah pelajar sewaktu mereka dibangku persekolahan dan bukannya apabila mereka telah tamat persekolahan.

Memandangkan tugas para guru semakin berat pada hari ini, adalah sewajarnya kakitangan PLKN bergerak dari dalam sekolah itu sendiri. Aturkan program-program latihan berkala kepada para pelajar sekolah untuk mencapai matlamat-matlamat yang digariskan. Sekolah-sekolah sendiri ada mengaturkan program sahsiah diri secara intensif kepada pelajar-pelajar dengan menjemput “ahli motivasi” yang tidak dikawal persijilannya. Maka ada baiknya program-program ini diambil-alih oleh PLKN dan diberi penambahbaikan.

Jika kita mengkehendakki sistem sekolah yang dinamik maka penglibatan pihak-pihak tersebut amat diperlukan. Sistem pembelajaran perlulah mempunyai unsur edutainment dan saya nampak unsur ini boleh dipikul oleh tenaga pengajar PLKN.

Buat silap tidak mengapa, tetapi jangan kita sekali-kali mengulangi kesilapan.