Inilah Perjuanganku

Syukur kehadrat Tuhan yang Maha Esa atas kehendakNya mengurniakan diri ini kekuatan jiwa dalaman dan luaran sebagai antara insan terpilih yang bergelar pendidik bertaraf guru. Diiringi pula sebuah anugerah berupa hati yang dimudahkan menggalas amanah walau dihimpit pelbagai cabaran, seterusnya melengkapkan diri ini dengan kepekaan tanggungjawab untuk bersuara melalui blog ini yang akan menghimpunkan pelbagai pengalaman.

Bersyukur atas kurniaannya kepadaku, semenjak hari pertama ditauliahkan sebagai guru, dalam masa yang singkat pelbagai selok belok perjawatan dan tanggungjawab yang digalas kebahuku amat mengesankan diminda lantas skop tugas seorang guru dilihat olehku sebagai suatu profesyen yang amat mencabar dan masa 24 jam sehari terlalu cepat berlalu.

Keseronokan yang terpaksa dicipta sendiri untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab yang amat berat akhirnya bertukar menjadi nikmat apabila strategi serampang dua mata, mendidik dan menyelidik menghasilkan penemuan ibarat mata air yang tidak henti putus mengalir. Tidak dapat kunafikan, anugerah ini hasil keikhlasanku dan kesungguhanku memegang erat prinsip hidup yang muktamad.

Aku dilimpahkan dengan kemurahan memperolehi idea untuk memudahkan tugas dan meringankan tanggungjawab. Niat, doa dan harapan agar dipermudahkan urusan mendidik para pelajar dimakbulkan oleh Yang Maha Esa dengan terhasilnya ciptaan alat bantuan mengajar yang amat praktikal, bersesuaian, amat menarik minat dan berjaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

Kejayaan tersebut mendorong aku bertindak mencipta dan membangunkan pelbagai lagi kaedah pengajaran-pembelajaran secara aktif kerana pegangan prinsipku terhadap tanggungjawab. Dalam tempoh yang didefinisikan oleh guru-guru veteran sebagai “cap jari belum kering”, aku berkongsi pengalaman dengan guru-guru yang berminat dan bermulalah episod pengembaraanku sebagai pendidik yang mencurahkan idea dan berkongsi ilmu bersama guru-guru yang menghadiri kursus diwaktu cuti.

Pengalaman tersebut aku pergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mempertingkatkan prestasi diri dari segi inter-personal, keterampilan, pengucapan umum, komunikasi dan keyakinan diri. Cabaran utamaku ialah berusaha mengubah persepsi mereka untuk bersedia menerima ilmu daripada mereka yang lebih muda dan melupakan seketika lebihan garam yang telah mereka makan terlebih dahulu.

Pengalaman unik sebagai seorang guru muda yang berkesempatan mencurahkan ilmu kepada ribuan guru-guru berpengalaman, pelajar-pelajar, pensyarah dan Dekan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi memberi suatu dimensi baru dalam kerjayaku sebagai seorang guru. Disinilah bermulanya aku berjinak dengan falsafah dan memperbanyakkan bahan bacaan kerana aku perlu terus menambah ilmu pengetahuan jika ingin terus berjaya.

Aku terharu kerana perjalananku terasa amat dipermudahkan oleh Tuhan. Apabila usaha murniku diiktiraf oleh pelbagai pihak, aku memperolehi suatu pengalaman yang amat berguna dan menjadi titik tolak kepada hasrat membuat kajian dan penyelidikan dan akan dicurahkan kedalam blog ini. Sikap iri hati pihak yang terbabit menyebabkan aku berfikir kewujudan fenomena ini dalam bidang pendidikan. Tuhan tidak menghampakanku.

Bertolak dari kejayaan disitu, aku dipindahkan ke Kementerian Pelajaran yang boleh dianggap sebagai pelengkap pengetahuanku terhadap proses aliran memahami struktur dan dasar pendidikan dinegara ini.

Anugerah Tuhan yang mengizinkan aku berpeluang berkhidmat secara formal disetiap bahagian yang menunjangi proses penting sistem pendidikan dinegara ini dalam jangkamasa yang singkat, membuatkan aku terfikir apakah hikmah disebaliknya dan aku mula melihat tanggungjawabku sebagai seorang pendidik dalam konteks yang amat berbeza.

Aku meletakkan jawatan di Kementerian Pelajaran untuk melengkapkan pengembaraan hidup mendekati dunia pendidikan dari kacamata ibubapa dan masyarakat pula. Aku mengendalikan kursus keibubapaan untuk mendampingi erat dan mendapat maklumat telus dan ikhlas daripada mereka. Banyak pengalaman cerita pahit manis dan suka duka ibubapa yang dikongsi secara hati-ke-hati berhubung kewibawaan guru-guru yang dipertanggungjawabkan mendidik anak-anak mereka.

Pelbagai lagi kursus motivasi yang dianjurkan melibatkan pelajar-pelajar sekolah membolehkan aku mengenalpasti golongan pelajar yang dapat memberikan input secara terbuka tanpa berselindung. Ribuan pelajar yang kutemui benar-benar meluahkan 1001 kisah yang berbeza malahan wujud sesebuah keadaan realistik yang sinonim diantara satu sama lain walau mereka berada di sekolah yang berbeza.

Seterusnya aku mengkaji masalah sosial remaja dari jauh kerana tidak mempunyai kuasa. Aku bertambah yakin dan bersemangat kerana mengetahui aku hampir menjumpai punca. Maka aku memohon dan diterima mengajar disebuah sekolah swasta terkemuka di ibu negara.

Kesempatan ini membolehkan aku membuat perbandingan diantara dua kumpulan manusia yang menjalankan tugas yang hampir sama tetapi mendapat layanan yang berbeza. Hasilnya, mendatangkan impak yang terus memberi kekuatan kepadaku untuk terus berusaha mengembara mencari jawapan kepada persoalan yang jelas tetapi kabur penyelesaiannya.

Sesungguhnya pengembaraanku selama 15 tahun mencari suatu jawapan mutlak kepada persoalan umum berhubung halatuju dunia pendidikan benar-benar dibantu oleh kekuatan dalaman yang diizinkan oleh Tuhan. Aku melengkapkan kajianku dengan bergiat aktif mengendalikan kursus motivasi kepada guru-guru sekolah.

Jika sewaktu aku menjawat tugas sebagai seorang guru, aku berceramah tentang subjek teknikal iaitu rekacipta, kini sebagai seorang perunding motivasi swasta, aku mendapat peluang yang akhirnya bisa untuk aku melengkapkan penyelidikanku berdasarkan pengalaman realistik dan diterjemahkan kedalam buku ini.

Buku ini pasti tidak akan ditulis jika aku sengaja membutakan mataku serta mengkudungkan tanganku dan pasti tidak akan diterbitkan jika aku bersekongkol dengan sebuah hati yang hidup dalam zon selesa; tatkala aku yakin telah menemui punca tunjang kepada kemelut dunia pendidikan yang bergerak ibarat dalam sebuah bulatan yang tidak pasti mana pangkal dan mana hujungnya.

Blog ini bukannya merupakan sebuah retorik yang ditulis semberono tanpa bukti. Blog ini ditulis hasil kajian pemerhatian berdasarkan kapasiti penulis sebagai bekas guru pelatih, bekas guru terlatih sekolah kerajaan, bekas guru terlatih sekolah swasta, kakitangan sumber Jabatan Pendidikan, Pegawai Kurikulum Kementerian Pendidikan, seorang bapa kepada anak yang bersekolah, aktivis masyarakat yang mendengar pendapat dan luahan perasaaan ibubapa dan masyarakat umum,.

Perbincangan tidak rasmi juga dibuat dengan bekas-bekas guru sekolah yang bersara, penjawat jawatan utama pelbagai bidang disektor korporat, penjawat jawatan awam diluar sektor pendidikan, ahli politik serta beberapa golongan professional luar negara yang terlibat dengan sektor pendidikan di negara mereka sendiri.

Koleksi kajian juga tidak seimbang jika dipinggirkan pandangan masyarakat luar bandar yang rata-ratanya terdiri daripada mereka yang tidak mendapat pendidikan persekolahan lengkap dan telah meniti usia dengan menggunakan kudrat membanting tulang untuk menyara persekolahan anak mereka. Pendapat dari luahan hati peneroka, pesawah, pemandu lori, buruh dari pelbagai golongan bangsa juga dijadikan sandaran kerana mereka juga mempunyai peristiwa tersendiri yang perlu diambil kira.

Melengkapkan lagi senarai responden ialah luahan pendapat para pelajar sendiri terdiri daripada mereka yang belajar di sekolah rendah dan menengah samada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, sekolah berasrama penuh, dan sekolah swasta. Bukan sahaja pelajar yang cemerlang malahan mencakupi pelajar-pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar bermasalah. Aku dapat mengumpulkan pendapat mereka melalui aktivitiku sebagai penceramah motivasi yang diundang oleh sekolah-sekolah untuk mengendalikan kursus.

Sebagai sisipan perasaan, aku amat berterimakasih kepada pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar yang dikategorikan sebagai bermasalah kerana daripada perkongsian perasaan dengan mereka, terlalu banyak pengalaman yang dipelajari berhubung falsafah hidup yang bukan sahaja tidak dapat diperolehi daripada mana-mana bahan bacaan malahan kadangkala menimbulkan keraguan terhadap teori yang ditulis oleh pakar-pakar bidang berkaitan umumnya penulis Barat.

Terkini, jawatanku sebagai Pengarah Latihan syarikat swasta dan kapasitiku sebagai penceramah motivasi kepada guru-guru sekolah membolehkan aku mengesahkan kajian pemerhatian berdasarkan kepada kuantiti responden yang mencecah angka ribuan orang. Tambahan sebagai seorang penceramah motivasi bebas yang tidak terikat dengan kerajaan, guru-guru yang menjadi peserta tersebut dilihat lebih bebas untuk menyuarakan perasaan mereka yang terpendam berbanding sewaktu aku menjadi penceramah diwaktu menjawat jawatan sebagai kakitangan kerajaan.

Harapanku, pembaca sekelian tidak memperkecilkan blog ini yang sebenarnya menghimpunkan pengalaman sebenar dari tahun 1975 sehingga kehari ini. Pengalaman kita berbeza maka aku tidak menulis mengenai pandangan dan pengalamanku sebagai bekas pelajar sekolah tetapi mempelbagaikan aspek kajian melalui pemerhatian, perbahasan, perdebatan, forum, ceramah, kursus, perbincangan, mesyuarat, pengalaman dan soal selidik bersama-sama mereka yang telah diperincikan di atas.

Semoga usaha kecil ini membawa suatu dimensi baru kepada semua warga pendidikan dan menimbulkan azam, semangat dan jatidiri yang baru untuk memikul tanggungjawab mengangkat kembali maruah perguruan agar ianya benar-benar menjadi satu wadah perjuangan untuk memastikan kecemerlangan negara dimasa hadapan diisi oleh anak didik kita pada hari ini.

Blog ini adalah pengorbanan kecilku untuk sahabat-sahabat guru yang tercinta. Tidak langsung terlintas niat untuk memperkecilkan sesiapa kerana nyata ianya tidak menguntungkan mana-mana pihak malahan kesannya boleh menyebabkan jiwa merana sepanjang hayat.

Seandainya terkhilaf kita melakukan kesilapan semasa mendidik, kemudian kita menyedarinya dan terus membuat perubahan, maka anda merupakan diantara insan terbaik yang dicipta oleh Tuhan.

Anda adalah anugerah kepada alam yang tidak ternilai. Manfaatkanlah perkara yang ikhlas dari bingkisan ini dan berilah teguran secara ikhlas kepadaku seandainya terdapat perkara yang tidak kusedari dimana-mana bahagian dalam buku ini yang tidak membawa sebarang erti kepada dunia pendidikan.

Semoga hati anda dipermudahkan untuk memahami bahasa yang adakalanya menimbulkan salah anggap dan sesungguhnya aku juga tidak lepas dari khilaf seorang manusia.

Aku berhasrat untuk mencurahkan segala kurniaan Tuhan kedalam blog ini semahu-mahunya.

Insyallah

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK