Proses Belajar

Belajar adalah satu proses semulajadi yang dilalui oleh setiap manusia berdasarkan hukum alam. Melalui proses belajar manusia mengetahui dan memahami sesuatu. Proses belajar itu sendiri telahpun bermula sejak manusia dijadikan oleh Tuhan. Oleh itu, manusia diturunkan oleh Tuhan ke mukabumi ini untuk menguji sejauh manakah mereka dapat menggunakan akal untuk belajar erti dan tujuan mereka dijadikan.

Berdasarkan sejarah, proses belajar ditekankan secara jelas melalui kisah anak-anak Nabi Adam As, iaitu Qabil yang telah membunuh saudara kandungnya Habil akibat perasaan iri hati. Semasa Qabil bingung memikirkan cara untuk menyelenggarakan mayat saudaranya itu, maka beliau terlihat dua ekor burung gagak yang berkelahi dan seekor diantaranya mati. Burung yang masih hidup telah menggali tanah lalu bangkai kawannya itu dikuburkan ke dalam lubang yang kemudiannya dikambus kembali. Melihat kejadian tersebut, maka Qabil pun melaksanakan perkara yang sama terhadap saudaranya itu.
Dari kisah tersebut, jelas bahawa proses belajar yang pertama direkodkan melibatkan proses dua hala iaitu mengajar dan belajar . Burung gagak tersebut mengajar dan Qabil belajar. Manusia belajar daripada seekor burung juga dipanggil sebagai suatu proses pembelajaran kerana manusia tersebut mempelajari sesuatu pengetahuan daripada pemerhatiannya.

Proses belajar nyata tidak memerlukan syarat khusus untuk melengkapkan kaedah pembelajaran. Tiada syarat menyatakan belajar memerlukan proses pemindahan ilmu pengetahuan dari seorang manusia kepada manusia yang lain.

Syarat utama seseorang manusia melengkapi hukum alam yang utama ini ialah kehendak hati untuk belajar. Kehendak hati inilah yang menentukan kesungguhan mereka untuk mempelajari atau tidak sesuatu ilmu tersebut.

Tahap kesungguhan hati mereka ini pula terletak kepada manfaat dan keperluan hidup untuk diri mereka. Jika mereka mendapati bahawa sesuatu ilmu tersebut amat penting bagi mereka pelajari maka mereka akan bersungguh-sungguh untuk memahaminya melalui proses belajar.

Sebaliknya apabila mereka beranggapan bahawa ilmu tertentu itu tidak penting untuk diri mereka, hati mereka tetap menolak apa yang diajar.
Pepatah Melayu ada berkata;
“Berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati”

Berdasarkan kepada pepatah di atas, kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa guru sebenarnya amat memainkan peranan untuk membuatkan seseorang pelajar tersebut mencintai matapelajaran yang diajarnya.

Walaupun teori barat mengatakan bahawa manusia memiliki aras kecerdikan yang bergantung pada bidang, namun seminat manapun murid tersebut terhadap aras kecerdikannya, jika dari peringkat awal guru terbabit gagal menarik cintanya yang lahir dari hati terhadap matapelajaran tersebut, nescaya mereka akan terus menjauhkan diri dan lama kelamaan terus membenci.

Jelas bahawa beratnya tugas yang digalas di bahu setiap guru yang diamanahkan mendidik mengikut kepakaran tersendiri. Mereka bukan sahaja sekadar mahir dalam subjek tersebut, malah bijak memikirkan kaedah terbaik untuk membuatkan para pelajarnya membuka hati mereka seterusnya mencintai subjek yang diajar.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK