Proses Pendidikan Formal

Melihat kepada mekanisma asas proses belajar, manusia memperkenalkan sistem belajar yang lebih tersusun iaitu pendekatan memindahkan ilmu pengetahuan dua hala dari seorang manusia kepada seorang manusia yang lain. Proses ini pula dibahagi kepada formal dan tidak formal seperti yang umum ketahui.

Pendidikan formal jelas dilihat apabila terdapat kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan sukatan pelajaran yang ditetapkan, guru yang mengajar, bahan bacaan, bangunan, masa yang dijadualkan, peperiksaan untuk menguji tahap pencapaian dan beberapa penyeragaman lain.

Ilmu pengetahuan yang dipindahkan secara sistematik tersebut telah menggariskan keperluannya untuk dipelajari oleh manusia. Bergantung kepada usia, proses pendidikan semakin meningkat tahap ilmunya dari tahun ke setahun sehinggalah mereka melengkapkan zaman persekolahan formal.

Ilmu asas yang diberi penekanan khusus diantaranya ialah membaca, menulis dan mengira. Selepas mereka menguasai ilmu-ilmu tersebut, maka mereka akan didedahkan pula dengan pelbagai lagi ilmu yang penting dan semuanya bergantung kepada sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan.

Terdapat pelbagai matapelajaran yang diwajibkan atau juga menjadi pilihan untuk para pelajar mempelajarinya. Semakin hari, semakin banyak mata pelajaran yang diperkenalkan. Namun begitu, terdapat mata pelajaran wajib yang harus dikuasai oleh para pelajar. Mata pelajaran tersebut menjadi wajib menyedari kepentingannya yang harus dimiliki oleh seorang pelajar sebagai prasayarat untuk diterima bekerja.

Untuk menempuh kehidupan, manusia perlu mempunyai pengetahuan. Seorang nelayan perlu menguasai ilmu pengetahuan sebagai seorang nelayan. Seorang doktor memerlukan ilmu pengetahuan sebagai seorang doktor.

Prasyarat kelayakan untuk bekerja memerlukan seorang pelajar menguasai kemahiran tertentu. Mengambil kira matapelajaran Matematik, seorang pelajar perlu menguasai kemahiran asas seperti mengenal nombor, kira tambah, tolak, darab dan bahagi. Seterusnya semakin banyak kemahiran yang diperkenalkan seperti purata, peratusan, keluasan, trigonometri dan lain-lain lagi.

Kemahiran-kemahiran ini mempunyai kepentingan yang tersendiri untuk seorang manusia menempuh alam kehidupan mereka kerana kira-kira tersebut amat diperlukan dalam proses jual beli, menganggar perbelanjaan, mengira jarak dan keluasan rumah, bangunan atau apa sahaja yang berkaitan dan lain-lain lagi hal yang amat berkait rapat dengannya.

Seorang manusia yang melengkapkan proses pendidikan formal dengan cemerlang akan melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian yang lebih tinggi untuk mengkhususkan ilmu mereka. Mereka kelak akan menggunakan ilmu yang dikhususkan tersebut untuk bekerja dalam bidang masing-masing. Manakala manusia yang kurang cemerlang pencapaiannya akan mula menempuh kehidupan dewasa mengikut kemampuan atau kebolehannya.

Di sini manusia akan dikategorikan mengikut kedudukan mereka. Golongan menteri, professional, kakitangan sokongan, buruh am dan sebagainya. Golongan ini memerlukan kelulusan yang diperlukan untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu. Begitulah pentingnya pendidikan formal dalam menentukan kedudukan mereka di kemudian hari.

Maka kesimpulannya, subjek yang diajar kepada mereka merupakan maklumat penting secara teknikal untuk menjuruskan pengkhususan kehidupan mereka yang bakal mewarnai zaman pekerjaan. Tidak boleh kita nafikan perkara ini tetapi malangnya tidaklah sehingga kita terlalu mengutamakannya sehingga dipinggirkan pula pembangunan insan dari segi persiapan jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK