Mencorak Generasi Pewaris Negara

Kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang mudah dipengaruhi minda mereka. Pada peringkat ini, sewaktu mereka sedang mempelajari tentang erti kehidupan, sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk menyumbangkan input tersebut. Input yang diasuh bakal mencorakkan cara hidup mereka pada masa hadapan.

Perkembangan tersebut secara langsung membuktikan Institusi Pendidikan bertanggungjawab melahirkan generasi pewaris negara yang akan menerajui negara. Generasi ini bakal menentukan halatuju negara pada masa akan datang yang semestinya lebih kompetitif dan mencabar.

Sehubungan itu, pihak perancangan dan pelaksanaan dasar pendidikan negara merupakan anggota terpenting dalam kitaran masyarakat hari ini. Hubungan secara terus mereka dengan generasi pewaris ini haruslah ditangani dengan penuh teliti kerana sebarang kecacatan bakal menyebabkan kerosakan pada corak negara akan datang.

Pihak perancang dan penggubal dasar di negara ini haruslah berpegang teguh pada matlamat yang sejati secara konsisten agar hasrat negara tercapai pada masa hadapan.
Walaupun cabaran global pada masa hadapan tidak dapat diramal secara tepat disebabkan oleh aktiviti teknologi yang terlalu aktif, pihak terbabit tidak boleh merasa cemas untuk merancang perubahan yang selari dengan keperluan global masa tersebut. Tindakan sedemikian tidak sewajarnya dilaksanakan kerana ia tidak memberikan jaminan bahkan merumitkan keadaan.

Institusi Pendidikan haruslah mempunyai satu pegangan asas yang tidak boleh dikompromi dan ianya haruslah kekal relevan pada setiap masa walaupun sekerap mana perubahan pucuk pimpinan baik dari segi Perdana Menteri, Menteri Pelajaran mahupun Ketua Pengarah Pelajarannya. Kredibiliti pihak ini untuk bertindak secara konsisten akan mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan. Guru-guru juga akan dapat menyemat perasaan bangga dan jitu dengan tahap professionalisma yang tidak tergugat serta dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas tanpa perlu menjawab perubahan kepada masyarakat yang bingung terhadap perubahan.

Dasar yang konsisten perlu diberi nafas baru dan bukannya perubahan dasar. Mengambil contoh dasar penggunaan bahasa pengantar, jika suatu masa dahulu Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar sekolah tetapi ianya kemudian telah ditukar kepada Bahasa Malaysia selaras dengan maruah sebuah negara yang merdeka. Hasilnya dapat dilihat hanya pada suatu jangka masa yang lama apabila generasi masa kini didapati lemah menguasai Bahasa Inggeris sedangkan ianya amat diperlukan dalam bidang pekerjaan pada masa sekarang.

Menyedari hakikat yang dilalui oleh generasi hari ini berhubung kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris maka kerajaan memperkenalkan pula subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dengan harapan mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

Jelasnya, memang mudah untuk kita mengubah dasar tetapi adakah semudah itu kesan yang dirasai oleh pelajar yang mengalaminya. Kesan tersebut bukan sekadar apa yang dilakukan pada hari ini iaitu mengukur pencapaian peningkatan atau penurunan pada musim peperiksaan sahaja, malahan lebih jauh daripada itu, ianya meresapi masa depan pelajar.

Bukankah isu bahasa pengantar ini dapat mengesahkan pendapat buku ini bahawa tanggungjawab seorang guru ialah membekalkan ilmu kehidupan secukupnya kepada anak didik untuk mengharungi masa hadapan secara bersendirian. Begitulah pentingnya warga pendidikan dalam sususan hieraki masyarakat sehinggakan sebarang kesilapan masa hadapan sebenarnya terletak di bahu kita. Kesimpulannya, pihak kerajaan melalui kementerian yang merancang dasar perlu bertindak tegas supaya mengurangi kesilapan lampau. Perancang dasar perlu memiliki ahli fikir yang berpandangan jauh kehadapan ibarat ahli nujum yang meramal masa 50 tahun kehadapan agar dasar yang digubal mampu bertahan lama.

Sekiranya kita masih bersikap membuat perancangan untuk jangka masa pendek, sependek sikap guru-guru yang mengajar agar anak didiknya lulus peperiksaan, maka negara akan kehilangan sumber manusia yang berwibawa pada masa hadapan untuk memerintah negara.

Jika seorang pakar perancang bandar tidak dapat membuat kajian dan ramalan jangka panjang dalam perancangannya, akibatnya sudah pasti dalam tempoh jangka pendek bandar tersebut akan menjadi kelam kabut dan tidak terurus. Seperti yang terjadi kepada bandar-bandar di Malaysia terutama Kuala Lumpur. Bagaimanakah terminal perhentian bas yang utama diletakkan di tempat yang sibuk hanya beberapa tahun kemudiannya. Begitu juga rumah pangsa yang dibina dahulu tetapi beberapa tahun kemudiannya diapit oleh bangunan pencakar langit yang mengakibatkan lebih banyak masalah timbul kepada banyak pihak.

Soal cabut keluar dan selit masuk subjek dalam sukatan pelajaran hari ini bukan suatu perkara baru lagi. Mengapa boleh jadi hal sedemikian adalah suatu persoalan yang telah kita fahami jawapannya. Walau bagaimanapun adalah diharapkan ianya tidak mencacatkan dan tidak meninggalkan kesan yang serius terhadap produk yang dihasilkan, iaitu belia-belia yang mungkin sedang berada disekitar kita pada hari ini.

Pihak Kementerian harus bertegas dan berpegang kepada prinsip tanggung jawab untuk memastikan negara kita memiliki rakyat yang berkualiti untuk memimpin negara pada setiap masa. Untuk itu, ahli perancang perlulah memiliki jatidiri unggul yang berpandangan jauh dan tidak menggelabah setiap kali timbul masalah berkaitan dasarnya. Sebuah negara yang maju tidak semestinya berlandaskan kepada dasar yang fleksibel sahaja.

Dasar yang fleksibel bukan bermakna dasar tersebut boleh diadakan dan dipadamkan jika tidak kompetitif. Seandainya dasar tersebut diubahsuai sekalipun ia tidak boleh dibenarkan kerana kita tidak boleh membiarkan keadaan mengawal kita sebaliknya kitalah yang mengawal keadaan. Jika kita gagal mengawal keadaan dan sebaliknya membuat keadaan yang mengawal kita, maka kita selamanya tidak dapat bersaing dengan negara-negara lain dalam saingan globalisasi.

Seandainya matapelajaran Sivik tidak digantikan dengan subjek lain lebih 25 tahun dahulu dan dikekalkan kesinambungannya, dirasakan program Khidmat Negara yang diperkenalkan kepada pelajar lepasa sekolah pada hari ini tidak perlu diwujudkan dan secara langsung menjimatkan perbelanjaan negara yang menelan kos berjuta-juta ringgit setahun. Perbelanjaan tersebut seharusnya menjadi suatu pelaburan untuk pembangunan sahsiah pelajar di peringkat sekolah sekiranya kita bijak menggunakan akal fikiran dan memikul amanah dengan lebih bertanggung jawab.

Pewaris negara perlu dibentuk pada hari ini. Kita masih mempunyai masa untuk memperbetulkan keadaan agar sebarang kelemahan pada masa akan datang tidak meninggalkan lubang yang dalam buat masa yang panjang.

Nyata warga pendidikan amat berharap agar pihak perancang dasar dapat bertanggung jawab atas kesilapan lampau dan tidak mengulangi kesilapan malahan bertindak menerajui guru-guru di negara ini untuk terus meningkatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap komuniti guru.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK