HASRAT DAN MATLAMAT KERAJAAN ERA TUN DR MAHATHIR

Wawasan 2020 adalah matlamat besar kerajaan Tun Dr Mahathir sewaktu memandu negara ini untuk keluar dari kepompong ‘negara’ sedang membangun. Wawasan untuk menjadi sebuah ‘negara maju’ tidak boleh ditangguhkan lagi kerana negara-negara tersebut telah jauh kehadapan sementara Malaysia masih kekal stereotaip kedudukannya.
Tun Dr Mahathir mensasarkan masa yang relevan bagi rakyat Malaysia bergerak seiring dengan usaha kerajaan mencapai matlamat tersebut.

Kerajaan telah membuat pelaburan besar mendirikan prasarana Multimedia Super Corridor sebagai isyarat dari Malaysia kepada negara-negara lain tentang kesediaannya untuk bersaing dalam era teknologi. Pelaburan tersebut memang signifikan dari sudut pembangunan selari antara kemajuan teknologi domestik dengan kemajuan teknologi global pada masa kini.

Negara berjaya mewujudkan satu prasarana yang dirancang untuk keadaan futuristik dan menggamit minat pelabur asing membuat pelaburannya di negara ini. Seandainya keadaan ini berjaya dikekalkan momentumnya, maka negara akan terus maju seiring dengan perubahan global.

Persoalannya, adakah rakyat negara ini mampu mengendalikan prasarana terkini tersebut untuk bersaing dalam masa beberapa tahun akan datang?

Perlu diingat perubahan teknologi global terlalu deras untuk diramalkan akibat daripada saingan kompetitif negara-negara maju yang telah lama bergiat dalam dunia penghasilan. Mereka giat menyelidik dan membangunkan teknologi saban hari kerana mereka telah lama membina tapak dan landasan dalam bidang penghasilan.

Pelan pembangunan penghasilan mereka terlalu jauh ke hadapan disebabkan oleh kemampuan rakyatnya yang telah turun temurun diasuh untuk berfikir secara proaktif.
Oleh itu, berapa lamakah prasarana teknologi negara hasil pelaburan besar kerajaan ini dapat mempertahankan ciri-ciri futuristiknya dalam saingan global? Apakah prasarananya dapat berkembang seiring dengan negara maju selama-lamanya atau adakah elemen futuristiknya akan terhenti disatu tahap dan bertukar statusnya menjadi antik?

Melihat kepada keadaan yang realistik, pelaburan besar dalam menyediakan prasarana tersebut kemungkinan akan gagal mengekalkan daya saingnya untuk satu jangkamasa tempoh yang tidak lama. Puncanya ialah sumber manusia domestik yang tidak mempunyai tahap proaktif seperti negara-negara yang telah lama berkecimpung dalam dunia penghasilan.

Negara kita pula lebih bertindak sebagai pengguna dalam ekonomi global sejak sekian lamanya dan kesebatian ini membentuk dan mempengaruhi segenap aspek kehidupan masyarakat seterusnya menjadi satu budaya negara.

Usaha murni kerajaan mewujudkan prasarana tersebut adalah berasas secara teori. Menyedari rakyat tempatan tidak memiliki budaya kerja seperti rakyat negara maju, maka kerajaan beranggapan dengan membawa masuk pelabur asing ke negara ini membolehkan berlaku pemindahan teknologi ke dalam negara sebagai satu jalan singkat untuk meningkatkan produktiviti Negara.

Apabila menyedari negara maju semakin jauh meninggalkan kita. Untuk mengurangkan jurang perbezaan maka kerajaan sedar betapa pentingnya sumber tenaga manusia tempatan mengubah paradigma mereka secara agressif dalam keadaan yang semakin mendesak.

Langkah agressif kerajaan telah menimbulkan pelbagai reaksi dari rakyat. Pemikiran Tun Dr Mahathir Muhammad yang proaktif menyebabkan rakyat negara ini segan untuk mempersoalkannya kerana mereka pasti Tun Dr Mahathir mempunyai wawasan yang mereka tidak nampak signifikannya.

Kewibawaan Tun memimpin negara ini selama 23 tahun dengan mencatat pelbagai kejayaan, walau pada peringkat awalnya mendapat tentangan, menyebabkan rakyat akur dengan pemikiran proaktifnya. Kejayaan demi kejayaan yang dicatat telah menyebabkan masyarakat lebih berminat untuk menunggu pengumuman seterusnya dan cuba membaca apakah rasionalnya dari sudut positif dan tidak lagi terus melemparkan kritikan secara melulu.

Pemikiran Tun Dr Mahathir terlalu kehadapan dan tidak relevan dengan keupayaan rakyatnya. Sungguhpun formula yang digariskan berkaitan penglibatan agressif dalam pelaburan MSC mempunyai asas, tetapi ianya mengambil masa yang lama untuk menjadi budaya rakyat negara ini.

Menjelang masa tersebut, jurang kemajuan negara ini dan negara maju akan terus bertambah besar. Sedang negara ini baru berjaya untuk berdiri, mereka telah lama boleh berlari pecut dan dapatlah kita bayangkan betapa kompetitifnya persaingan global.

Pemindahan teknologi hanya mampu memindahkan pengetahuan tetapi tidak mampu memindahkan budaya sikap dan mentaliti kepada rakyat tempatan secara total. Sikap dan mentaliti rakyat tempatan tetap ditahap yang sama dan akhirnya teknologi yang dipindahkan kepada mereka akan digunakan tanpa dapat merealisasikan hasrat Tun Dr Mahathir. Kekal negara kita sebagai negara pengguna.

Pengenalan Sekolah Bestari dengan prasarana moden dan terkini merupakan titik perubahan landskap bidang pendidkan di negara ini. Satu inisiatif kerajaan yang komited dengan keperluan global masakini.

Matapelajaran baru diperkenalkan malahan matapelajaran tradisi diberi nafas baru untuk disesuaikan kaedah pembelajarannya agar lebih menarik dengan pembabitan teknologi maklumat. Perancangan rapi diatur oleh pihak Kementerian agar pelaburan ini benar-benar membawa faedah yang maksimum.

Pembinaan makmal, pembelian perkakasan, penghasilan software multimedia, penulisan buku, latihan,mesyuarat dan seminar pegawai serta guru-guru merupakan antara tugasan yang dilalui oleh ribuan tenaga manusia bagi mencapai matlamat tersebut.

REALITI:
Sejauh manakah kemajuan yang dicapai secara kolektif setakat ini berdasarkan realiti diperingkat pelaksanaan?

Ulasannya akan dibuat pada artikel selepas ini

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK