FENOMENA WARGA GURU BHG 3

Masalah sosial seperti ponteng sekolah,merokok, bohsia, vandalisme, gangsterisme dan lain-lain lagi merupakan persoalan yang sungguh sinonim dengan pelajar dan nampak seakan menjadi agenda negara. Anak murid guru manakah yang terlibat dalam masalah-masalah ini?

Mengapa hal ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini? Adakah disebabkan media massa yang menggembur gembarkan permasalahan ini maka hal ini dilihat sebagai pemangkin kepada masalah ini? Kita lupakan peranan media massa dan berbalik kepada perbincangan keluarga guru dan mengenepikan soal luar.

Masalah sosial ini ketara di sekolah-sekolah menengah tanpa mengenepikan sekolah rendah. Apabila timbul sesuatu masalah, maka pihak sekolah sebenarnya lebih senang menutup kes tersebut kerana tidak mahu dilabelkan sebagai sekolah bermasalah oleh Pejabat Pelajaran Derah, Jabatan Pelajaran Negeri mahupun Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mana tidaknya, jika terdapat sesuatu kes tersebut, maka pihak atasan tidak kenal penat dan lelah untuk membuat lawatan berkali-kali kesekolah tersebut dan akibatnya lebih banyak perkara akan diselidiki, baik dari pengajaran dalam kelas, buku latihan mengajar, pentadbiran, keceriaan, tandas dan sebagainya. Semua pihak di sekolah, terutama pihak pengurusan sekolah akan panas punggung. Mereka merasakan perkara ini akan mengganggu tugas mereka dan tidak dapat duduk senang.

Sekali lagi keikhlasan pentadbir dan warga guru dipersoalkan. Menyorokkan kes bukanlah tindakan yang bijaksana. Ibarat menyapu sampah ke bawah kerusi. Wabak inilah yang menyebabkan masalah sosial tidak dapat dibendung. Lebih malang lagi jika terdapat kes pergaduhan dan mangsa ditidakkan haknya untuk mendapat pengadilan sewajarnya.

Pihak sekolah hanya mengarahkan mangsa mendapatkan rawatan dan menganggap kes tersebut sebagai kes terpencil. Apatah lagi dengan kes pelajar yang mengandung? Pelajar yang dirogol? Walaupun sekadar andaian, tetapi tidak pelik sekiranya pihak sekolah mengambil sikap yang sama jika menghadapi masalah-masalah tersebut.
Masalah merokok pula semakin menjadi-jadi dan tidak dinafikan segelintir pelajar yang mula berjinak dengan dadah. Yang menarik, guru sekolah berjaya mengenal pasti pelajarnya yang merokok, tetapi mengambil pendekatan yang berbeza. Asalkan tidak merokok di kawasan sekolah. Di luar itu soal mereka.

Pelajar kini lebih berani membuat pengakuan bahawa mereka merokok. Bolehkah kita mengambil kira bahawa kita gagal dalam mendampingi mereka secara psikologi? Akuilah bahawa sikap pelajar tersebut sebenarnya lambang kegagalan kita mendidik nilai-nilai murni secara optimum.

Persoalan yang ditimbulkan di atas, merupakan hal yang perlu direnung kembali secara terbuka oleh warga guru. Bertanya pada diri sendiri dahulu, sebelum kita mengaitkan faktor-faktor luar. Inilah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, iaitu melihat masalah daripada dalam diri. Hanya mereka yang tidak amanah sahaja yang tergopoh-gapah cuba menyalahkan pihak lain sebelum mengkaji masalah dari perspektif dalaman.
Seorang guru, tidak kira pengetua, guru besar, guru kanan dan guru biasa, semuanya merupakan insan terpilih dan ditakdirkan oleh Tuhan untuk menjadi pendidik. Seorang pendidik yang menjadi contoh kepada anak didiknya serta masyarakat sekeliling.

Setiap tindak tanduk guru diperhatikan secara halus dan hakikatnya apa sahaja yang guru lakukan adalah betul. Begitulah tanggapan masyarakat. Hormatnya mereka kepada guru. Mulianya seorang guru itu dikaca mata mereka. Tetapi kita gagal menggunakan rasa hormat mereka kepada kita. Kita menghakis rasa hormat mereka kepada kita dengan tindak tanduk yang tidak berhati-hati. Kita gagal menjaga kemuliaan kita dimata masyarakat.

Memanglah guru juga manusia biasa, sentiasa melakukan kesilapan dan kecuaian, tetapi sebagai seorang guru, kesilapan dan kecuaian tersebut perlu diminimakan. Setiap tutur kata dan pergerakan perlu disusun rapi ibarat seorang tentera yang sedang berhadapan dengan musuh. Silap pergerakan akan mati ditembak. Rasanya maruah guru yang tercalar lebih teruk daripada mati ditembak.

Layanan kita kepada sesiapa sahaja yang masuk keperkarangan sekolah perlulah dilayan dengan hormat tidak kira pangkat dan keturunan. Seringkali dilihat warga sekolah tidak menunjukkan rasa hormat terhadap pelawat yang ingin berurusan dengan pihak sekolah.

Mereka menyambut pelawat tanpa melihat wajah dan sambil duduk serta menulis mereka mengajukan soalan niat pelawat. Perkara ini telah menjadi satu trend dikalangan warga sekolah. Sesuatu yang amat dikesali.

Bagaimanakah hendak kita mendidik pelajar agar menunjukkan nilai murni kepada pelawat yang datang, tidak kira pegawai, orang tua ataupun sesiapa sahaja? Lebih memburukkan keadaan, apabila berselisih dengan pelawat, guru tidak mengajukan salam tetapi berlalu begitu sahaja membuat pelawat terpinga-pinga jika mereka sebenarnya ingin bertanya.

Di sinilah jelas kelihatan sikap sebenar warga sekolah yang tidak prihatin. Walaupun bukan semua warganya bersikap demikian, tetapi jika ada seorang guru yang sebegitu di sekolah, sudah cukup mencacatkan seluruh nama baik guru.

...bersambung di artikel akan datang..insyallah

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK