FENOMENA WARGA GURU BHG 4

Kita masih bersyukur masih ada guru yang begitu prihatin terhadap pelajar dan nama sekolah. Menjadi seorang pendidik bukannya tugas mudah. Tetapi terpulang kepada guru sendiri untuk mengkategorikan diri mereka. Jika dilihat, guru-guru ini dapat dibahagikan kepada dua kategori utama.

Pertama yang merasakan tugas mendidik suatu tugas berat, memerlukan perancangan rapi, menyediakan pengajaran yang menarik, mendidik dengan tekun bagi memastikan kesemua anak didiknya berjaya dengan cemerlang. Walaupun tugas tersebut berat, tetapi pada akhirnya mereka merasakan nikmat yang tidak terhingga apabila objektif yang disasarkannya tercapai. Mereka mampu menggariskan pengurusan masa yang berkesan.

Golongan kedua pula merupakan golongan yang mengiakan pendapat masyarakat, iaitu tugas guru memang senang. Tetapi bila berhadapan dengan masyarakat, mereka tetap mengatakan bahawa tugas guru itu berat kerana selain mengajar terpaksa melaksanakan tugas-tugas mirip buruh kasar seperti mengecat, membuat garisan padang, melatih sukan, dan lain-lain lagi yang sebenarnya bagi sebahagian guru, mereka lebih rela membuat tugasan tersebut daripada berada dalam kelas untuk mengajar.

Tepuk dada tanya selera. Siapa makan cili dia terasa pedas, merupakan perumpamaan yang diajar oleh guru kepada murid-muridnya.Perbincangan kita masih berlandaskan perbincangan hati ke hati warga guru yang perlu dilihat dari perspektif dalaman tanpa mengaitkan unsur-unsur luar.

Kita tidak tahu siapa yang membuat kasut kita, tetapi kita hanya memakainya. Kita tidak tahu siapa yang menjahit baju kita, tetapi semasa membeli kita hanya pandai memilih kesesuaiannya. Kita tidak tahu buruh kasar mana yang menyiapkan rumah dan sekolah yang kita duduki, tetapi kita merasa selesa tinggal di dalamnya.
Pekerja-pekerja tersebut berjaya menyiapkan kerja mereka tanpa kita tahu siapa mereka. Buruh-buruh kasar yang bekerja di bawah terik mentari tetap tekun bekerja untuk menyiapkan bagunan kita. Tetapi siapa mereka?

Persoalannya disini, bukan apa yang mereka hasilkan dan apa yang guru hasilkan. Memang berbeza cara kerja untuk menghasilkan produk barangan berbanding produk perkhidmatan manusia. Tetapi apa yang ditekankan disini ialah landasan kerja, iaitu amanah.

Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh hamba Tuhan perlu berlandaskan amanah. Amanah seorang guru terlalu berat diberikan oleh Tuhan, iaitu mencorakkan kehidupan pelajarnya. Mendidik untuk memberi ilmu pengetahuan dan menitik beratkan nilai-nilai murni sebagai pedoman untuk menjadi manusia yang berjaya.

Tiada mesin yang mampu dicipta menggantikan guru jika dinilai tanggung jawab yang perlu dipikul. Mungkin mesin boleh mengajar hal akademik, tetapi soal sahsiah adalah perhubungan dua hala yang terpancar dari keikhlasan hati guru untuk membentuk anak didiknya.

Keikhlasan merupakan kunci utama untuk mendidik. Seorang guru yang ikhlas untuk mendidik agar semua anak didiknya berjaya dan memahami pengajarannya akan menerbitkan suatu aura yang boleh dirasai oleh semua pelajarnya. Bertitik tolak dari keikhlasan, seorang guru yang berkualiti memasang niat setiap kali melangkah ke sekolah bahawa dia menggenggam objektif yang dirangkanya untuk hari ini. Dia akan memastikan bahawa pulangnya nanti dengan kepuasan dan tercatat objektif tercapai.

Guru yang tidak ikhlas akan kehilangan motivasi untuk mengajar. Mereka lebih gemar melakukan aktiviti buruh kasar di sekolah daripada mengajar semata-mata kerana mereka perlu berada di sekolah dan menghitung waktu untuk pulang. Jika masuk kelas pun, hanya semata-mata menyuruh pelajarnya membuat kerja sendiri, membaca buku sendiri, menyalin di papan hitam sambil dia duduk memeriksa buku pelajar (ada juga yang berkesempatan menghantar sms). Mujur juga dia memeriksa buku pelajar.
Kebanyakan guru-guru yang tidak bermotivasi dapat dilihat daripada hasil pemeriksaan buku latihan pelajarnya. Ada yang tidak memeriksa buku dan kalau memeriksa pun, hanya ala kadar dan ada yang tidak endah dengan kesalahan pelajarnya. Asalkan buku ada berdakwat merah tanda diperiksa.

Bagaimana pula dengan buku ringkasan mengajar? Adalah menjadi kewajipan seorang guru merangka pelan ibarat seorang arkitek yang ingin membina bangunan. Tanpa pelan yang jitu, maka bangunan yang akan dibina bakal menghadapi masalah. Seringkali guru memandang ringan proses perangkaan pelan sedangkan ianya merupakan proses yang sangat penting dalam pengajaran.

Bermula dari perancangan yang rapi, idea tersebut diterjemahkan dalam bentuk tulisan kedalam buku ringkasan mengajar. Semasa perancangan, guru perlu memikirkan apakah kaedah yang terbaik agar kesemua pelajarnya berminat untuk mengikuti pengajaran dan pembelajarannya. Disinilah sebenarnya proses yang tersangat penting yang perlu diutamakan.

Jika perancangan yang dibuat dengan rapi dan jitu, maka perlaksanaannya dalam bentuk pengajaran akan menjadi mudah, tersusun dan teratur. Jika seorang arkitek berjaya menghasilkan enam pelan setahun, seorang guru pula terpaksa menyediakan hampir dua ratus pelan setahun mengikut hari persekolahan. Begitulah besar dan sukarnya tanggung jawab yang terpaksa dipikul oleh seorang guru dalam proses mendidik.

Walaupun begitu, seorang guru yang berkualiti tetap menganggap bahawa itu adalah amanah yang harus dipikul. Tugas seorang guru lebih berat daripada seorang arkitek. Jika diperhalusi tugas guru, maka sebenarnya ia merangkumi beberapa profession secara tidak langsung dan hal ini hanya disedari oleh guru-guru yang berkualiti, yang tidak putus-putus memikirkan cara terbaik agar anak didiknya berminat dengan pengajarannya. Mereka akan sering berdampingan dengan bahan rujukan tambahan, tidak hanya bergantung kepada buku yang dibekalkan.

Seorang guru yang berkualiti, dalam perancangan pengajarannya pula sentiasa memikirkan apakah bahan sampingan selain buku yang perlu diadakan untuk menarik minat dan memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada pelajarnya.

Zaman IT kini membolehkan sekolah-sekolah dibekalkan dengan komputer untuk tujuan pengajaran. Komputer menjadi alat bantu mengajar yang serba boleh dan mampu menarik perhatian pelajar. Tetapi jika seorang guru mampu melukis di atas papan hitam atau kad manila dengan baik dan bermatlamat, maka hasil tersebut lebih menarik nilai sentimental berbanding hasil komputer.

Tujuan alat bantu mengajar adalah sama, iaitu untuk menarik minat murid dan memberi kefahaman yang berkesan kepada pelajar. Yang penting, guru harus merangka pelan pengajaran dan memfokuskan kepada cara pengajaran serta teknik yang hendak disampaikan.

Usaha kerajaan memperkenalkan sekolah bestari pula merupakan langkah bijak untuk memastikan generasi akan datang dapat mewarisi zaman yang lebih mencabar dengan sebaik-baiknya. Guru yang bertanggung jawab di sini merupakan guru yang terpilih melalui pengetahuan mereka menggunakan sistem teknologi maklumat dan berpengalaman.

Diharapkan guru-guru di situ mempunyai ketahanan yang berkekalan. Janganlah hendaknya sebulan dua sahaja menggunakan komputer untuk mengajar selepas itu komputer terus ditinggalkan hingga hujung tahun. Dalamilah pengetahuan melalui usaha sendiri semata-mata untuk memberi input yang lebih padat kepada pelajar. Janganlah bergantung kepada sukatan pelajaran sahaja serta contoh-contoh yang digariskan. Gunakanlah kreativiti yang dianugerahkan kepada kita untuk mendidik.

..bersambung diartikel akan datang..insyallah

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK