BETULKAH APA YANG KITA PERJUANGKAN?

Wahai pejuang-pejuang bangsaku. Cuba kita renungkan sebentar apa yang kita perjuangkan selama ini berada dilandasan yang betul.

Melayu semestinya Islam. Fakta ini adalah kelaziman.

Pejuang Melayu berjuang berhabis-habisan mempertahankan hak keistimewannya di Tanah Melayu ini. Terima kasih kepada semua pejuang.

Nabi Muhammad s.a.w. berjuang untuk menegakkan syiar Islam diseluruh dunia. Alhamdulillah kini jutaan manusia beragama Islam diseluruh dunia. Berpunca hanya daripada beliau seorang.

Islam mengajar umatnya erti sebenar kehidupan. Bagaimana cara untuk hidup dengan mulia. Berkasih sayang.

Kini ditangan kitalah terletaknya tanggungjawab untuk meneruskan syiar Islam ini. Tanggungjawab setiap umat Islam tidak kira yang besar atau kecil, miskin atau kaya, putih atau hitam, lelaki atau perempuan. Tanggungjawab semua.

Ya, kita amat bertanggungjawab untuk menyebarkan agama suci ini.

Berhubung tanggungjawab yang dipegang ini, kaedahnya mudah sahaja. Kita tidak perlu mengajar penganut lain berhubung memahami Islam. Apa yang perlu dilakukan ialah membuktikan kebesaran dan keindahan agama ini. Buktikan betapa harmoninya kehidupan umat Islam.

Keindahan maksudnya, aman bahagia dan harmoni.

Malangnya, apa yang diperjuangkan hari ini ialah memperjuangkan hak bangsa. Apabila kita memperjuangkan hak bangsa, maka kita menjadi terlalu agressif. Sehinggakan kita memperlecehkan hak bangsa lain. Perkara ini membuatkan bangsa lain membenci Melayu. Dan apabila Melayu dibenci, secara langsung mereka membenci Islam.

Kesimpulannya, kita semua terutamanya pejuang-pejuang melayu tadi telah menjauhkan penganut agama lain dari mendekati Islam itu sendiri.

Jikalau kita berpegang kepada amanah Allah s.w.t. untuk menyebarkan syiar Islam, sepatutnya kita menjadi agen pemangkin untuk penganut agama lain menyukai Islam. Tetapi kita gagal.

Dalam kedudukan negara kita yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama dinegara ini, kita sedia maklum bahawa hubungan antara bangsa amat sensitif. Cuba kita lihat kes terkini berhubung bantahan pembinaan kuil. Jika kita memperkasakan ukhwah Islamiyah dinegara ini sedari dulu, mungkin kita akan membuktikan kepada penganut lain betapa indahnya Islam itu. Mungkin terbuka hati mereka untuk memeluk Islam. Protes yang dilakukan terhadap kuil itu merupakan salah satu daripada sebab kegagalan kita menyebarkan syiar islam. Sebab itu, kuil kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Tumbuhnya bilangan kuil kerana bilangan pengikut mereka semakin bertambah. Dan apabila mereka bertambah, maka kita menggelabah serta memaksa mereka menghadkan bilangan kuil. Salah siapa?

Saya bukanlah penyokong mana-mana parti politik. Perjuangan PAS pada dasarnya memperjuangkan Islam adalah dilandasan yang betul. Tetapi malangnya mereka dikaburi oleh politik. Maka Melayu UMNO dan Melayu PAS pun bertelingkah tanpa kesudahan. hal ini semestinya menjatuhkan martabat Islam. Maka kita gagal untuk membina Islam yang teguh, seterusnya terpaksa membelakangkan amanah untuk menyebarkan syiar Islam.

Susah sangatkah bagi semua pejuang untuk menunjukkan imej Islam yang sebenar? Memperjuangkan hak keistimewaan Melayu telah mengabaikan kita daripada menyebarkan syiar Islam. Mereka beranggapan apabila Melayu kukuh, maka Islam akan kukuh. Ini maksudnya memaksa. Islam itu sendiri perlu ditonjolkan sebagai agama yang memperjuangkan kesamarataan. Ingatlah, setiap manusia yang dicipta Allah s.w.t. adalah hakNya. Siapakah kita yang hendak menidakkan mereka daripada hidup didunia dan negara ini?

Semoga pendapat saya ini menjadi renungan kepada semua umat Islam dan pejuang bangsa Melayu yang hidup pada hari ini. Janganlah kita berpendapat tanggungjawab menegakkan syiar Islam terletak hanya ditangan mufti dan imam serta ustaz-ustazah. Ini adalah amanah Allah s.w.t.

Saya akan menunaikan umrah pada bulan Ram,adhan yang mulia ini sehingga selepas Aidilfitri. semoga saya dipanjangkan umur untuk menyambung perjuangan melalui blog ini selepas Aidilfitri.

Assalamualaikum, Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK