HARGA DIRI SEORANG GURU BHG 2

Nilai-nilai murni yang menjadi impian manusia sebagai pegangan adalah fundamental kepada nilai harga diri seorang guru. Masyarakat beranggapan bahawa seorang guru adalah ahli psikologi yang sedia lahir dengan ilmu kemasyarakatan yang tinggi dan mampu mempengaruhi anak didik dengan tingkahlaku mereka.

Guru tidak melakukan kejahatan malahan seringkali masyarakat menyelami jiwa seorang guru sebagai insan yang memiliki sikap pengorbanan yang tinggi semata-mata untuk kejayaan orang lain. Sebab itulah rata-rata ramai ibubapa yang melafazkan penyerahan anak mereka untuk diadili oleh guru seandainya anak mereka tidak mendengar kata. Keyakinan ini terbit kerana mereka merasakan guru merupakan insan yang adil, halus pertimbangannya dan akan mengambil tindakan atas dasar kasih dan sayangnya terhadap masa depan pelajar mereka.

Kesimpulannya, kesedaran memulihkan harga diri seorang guru adalah wadah perjuangan total revolusi mental dan emosi guru yang perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi secara permuafakatan kendiri tanpa perlu menunggu satu lagi tatacara rasmi yang diarahkan oleh pihak kementerian pelajaran.

Hanya insan yang mempercayai bahawa sebagai guru beliau harus mempraktikkan nilai hidup positif sepanjang masa adalah insan yang layak bergelar guru. Tiada tempat bagi mereka yang hipokrit dan merasakan bahawa guru juga adalah manusia biasa. Sekiranya seorang guru tidak dapat menyelesaikan masalah dengan individu lain dan berakhir dengan pertengkaran dan pergaduhan, maka nyatanya, lazimnya guru tersebut akan memberikan alasan yang tidak sepatutnya terpacul dari mulut seorang guru iaitu saya juga manusia biasa yang mempunyai perasaan marah. Gagal mengatasi kemarahan ialah suatu kekurangan.

Hakikatnya sebagai seorang guru, kita perlu sentiasa menanamkan semangat kental dan mengamalkan sikap positif, memaafkan mereka yang bersalah dan cuba sebaik mungkin untuk memperbaiki perhubungan sesama manusia. Inilah hal yang terjadi pada masakini di mana guru tidak lagi dapat memikul harga diri yang besar cabangnya dalam jiwa mereka untuk dijadikan contoh teladan kepada anak didik dan masyarakat amnya.
Belum dikira lagi dengan kesalahan guru-guru yang ditangkap kerana terlibat dengan kesalahan penyelewengan, najis dadah, rasuah, lumba haram, khalwat dan menyedihkan sekali ialah rogol.

Terlalu banyak kritikan dan tohmahan yang dihadapi oleh guru pada masa kini dan umumnya meletakkan punca kesalahan kepada tekanan tugas guru. Sikap tunduk kepada tekanan ini juga merupakan satu keruntuhan reputasi profesyen perguruan. Guru sewajarnya memiliki harga diri sebagai manusia yang tidak mengenal erti putus asa dan tidak tunduk pada sebarang tekanan.

Kita harus sedar semula, tanggungjawab seorang guru bukan hanya mengajar anak didik tentang matapelajaran dan lulus dalam peperiksaan malahan ianya lebih luas daripada itu iaitu mempersiapkan para pelajar dengan ilmu kehidupan agar mereka mampu menongkah arus secara yakin dan kental pada masa hadapan.

Pertuturan, pergerakan, kelakuan dan seribu satu macam tindakan guru merupakan pengajaran secara pemerhatian. Sebagaimana seorang guru tidak boleh mengajar fakta yang salah dalam subjek begitulah juga dengan tindak-tanduk guru sehari-harian. Sebarang salah laku guru memberi impak terhadap pelajar kerana bahasa badan guru juga adalah suatu pengajaran.

Hanya guru yang peka terhadap persediaan harga diri mereka sebelum mengajar dapat menarik perhatian pelajarnya untuk belajar dengan aktif. Penerapan nilai murni haruslah datang dari dalam jiwa seorang guru yang benar-benar berhasrat merealisasikan tugasnya untuk membentuk anak didik yang berjaya.

Comments

  1. En Zul,

    Saya berminat dengan blog saudara ini dan banyak memberi inspirasi kepada saya. Diharapkan saudara terus menulis dan saya mengganggap teguran saudara adalah untuk kebaikan semata-mata.

    Syabas

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK