HARGA DIRI SEORANG GURU

Sebagai seorang guru, kita dihormati oleh masyarakat sebagai seorang insan yang terhormat kerana kita memiliki kemahiran mendidik untuk menyebarkan ilmu pengetahuan.
Ibubapa dan masyarakat mempunyai pegangan bahawa di tangan gurulah masa depan anak mereka digarap dan sudah semestinya mereka sangat berharap agar setiap guru dapat membentuk anak-anak mereka menjadi seorang manusia yang berguna di masa hadapan.

Mereka akur bahawa guru memiliki cara dan kaedah terbaik untuk mendidik anak-anak mereka kerana guru-guru dikurniakan dengan ilmu khusus berhubung bidang pendidikan.
Guru-guru memiliki satu harga diri yang tidak ternilai dimata masyarakat. Guru merupakan insan yang dihormati dan disanjungi sehingga keakhir hayat mereka.
Gelaran guru akan kekal walaupun siguru telah meninggal dunia. Jasanya akan dikenang sepanjang hayat seandainya beliau banyak mencurahkan bakti terhadap kepentingan umum sepanjang tempoh hayatnya.

Di zaman penjajahan, guru merupakan suatu profesyen yang amat dihormati dan disegani oleh masyarakat setempat. Jika dibuat tinjauan, rata-rata pendapat akan berkongsi fakta bahawa mereka disegani kerana pada waktu tersebut terdapat terlalu sedikit ruang pekerjaan yang boleh diceburi oleh rakyat tempatan. Profesyen lain didominasi oleh penjajah.

Pendapat mengatakan bahawa profesyen sebagai seorang guru merupakan jawatan tertinggi yang disandang oleh rakyat tempatan. Mereka memiliki kesenangan hidup yang tidak mampu dimiliki oleh masyarakat setempat. Disebabkan kemudahan yang mampu mereka miliki, maka guru-guru dihormati dan disegani serta menjadi cita-cita yang diidamkan oleh setiap pelajar dan ibubapa.

Bukan setakat di kawasan sekolah malahan guru-guru waktu tersebut memainkan peranan penting dalam komuniti mereka sendiri. Jika disamakan keadaan tersebut dengan hari ini, bolehlah dikategorikan kedudukan guru waktu tersebut seperti seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam sesebuah kawasan yang terdapat di setiap pelosok bandar dan kampung.

Guru merupakan tempat mereka mengadu masalah dan guru jugalah yang mampu mendamaikan sebarang perselisihan kerana mereka merupakan insan yang terhormat. Oleh yang demikian, jika ketinggian status guru yang menjadi ukuran dan alasan mengapa mereka begitu dihormati, siapakah mereka ini yang layak menjawat jawatan seorang guru pada waktu tersebut. Adakah mereka terdiri daripada sesiapa sahaja yang berminat untuk mejadi guru?

Bukan semudah itu untuk menjawat jawatan seorang guru pada waktu tersebut. Mereka juga merupakan insan yang disaring sebelum terpilih untuk mendidik anak bangsa. Hanya mereka yang mempunyai kriteria terbaik akan berpeluang menjawat jawatan tersebut. Kriteria yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah kemampuan mereka untuk memimpin berdasarkan personaliti murni yang tinggi selain daripada aspek kebolehan menguasai aspek pelajaran.

Jelasnya, guru-guru waktu tersebut merupakan golongan yang bertuah dari segi pengiktirafan kerana mereka dihormati disebabkan oleh kemahiran mendidik para pelajar, personaliti menarik yang menjadi teladan serta pendapatan mereka yang lumayan membolehkan mereka memiliki kenderaan dan rumah yang lebih selesa berbanding masyarakat setempat.

Tidak hairanlah guru waktu itu juga merupakan pemimpin yang disandarkan harapan oleh rakyat untuk menyatukan masyarakat berjuang menentang penjajah. Bukan disebabkan oleh kehandalan mereka dalam ilmu pertempuran tetapi kerana harga diri mereka. Harga diri seorang guru yang sentiasa tenang, berfikiran jauh dan berilmu pengetahuan diyakini dapat memimpin masyarakat atas dasar mereka berjuang demi kepentingan agama, bangsa serta negara dan bukannya atas alasan kepentingan diri sendiri. Mereka benar-benar mempertaruhkan nyawa atas dasar perjuangan.

Masyarakat yakin bahawa seorang guru tidak memperdagangkan harga diri mereka. Guru tidak akan sekali-kali menggadaikan maruah untuk kepentingan diri sendiri apatah lagi untuk agama, bangsa dan negara.

Ketinggian disiplin dalam memelihara harga diri inilah yang menyebabkan masyarakat meletak kepercayaan penuh bahawa guru memiliki sikap kepimpinan yang semulajadi. Guru melaksanakan apa yang dijanjikan dan tidak berbual kosong.

Mereka mempunyai kekuatan dalaman yang sungguh dikagumi dan akan menyerahkan seluruh jiwa dan raga mereka melebihi keperluan keluarga sendiri atas nama amanah dan tanggungjawab. Guru merupakan insan yang berpegang teguh untuk menyempurnakan tanggungjawab.

Manusia yang bertanggungjawab adalah manusia yang memiliki harga diri yang tinggi. Inilah punca sebenar mengapa profesyen perguruan pada zaman dahulu sangat dihormati oleh masyarakat sekeliling pada waktu itu. Harga diri mereka melahirkan kepercayaan mutlak masyarakat.

Mereka memelihara harga diri mereka sepanjang masa kerana bagi mereka tugas seorang guru bukan setakat di sekolah sahaja malahan mereka juga mendidik di luar waktu persekolahan secara menunjukkan contoh teladan yang baik. Mereka aktif menunjangi aktiviti kemasyarakatan dan kepada merekalah masyarakat setempat membuat rujukan dan memerlukan bantuan.

Pribahasa “Guru kencing berdiri anak murid kencing berlari” amat bertepatan dengan situasi kehidupan seorang guru. Seorang guru tidak hanya menunjukkan harga diri yang tinggi sewaktu di hadapan para pelajar dan masyarakat, tetapi konsistensi mereka mengekalkan harga diri di mana sahaja mereka berada walaupun keseorangan di ruangan kosong adalah intipati mendalam yang dihasilkan oleh peribahasa ini. Perkataan terkini yang digunakan ialah integriti.

Seorang guru yang diiktiraf, sewajarnya merenung kembali aspek peribahasa ini. Inilah yang dinamakan tanggungjawab berat seorang guru. Mereka tidak lepas dari melakukan sebarang kesilapan sebagai manusia biasa, tetapi kekuatan dalaman mereka untuk melaksanakan sikap sebegini adalah tunjang kepada harga diri yang sebenar.
Maka, persoalan masakini, apakah puncanya guru tidak lagi dihormati seperti zaman kegemilangan guru-guru zaman dahulu. Jika dihalusi, akan jelas kelihatan bahawa harga diri seorang guru yang dipikul oleh kita menjadi punca sebenar reputasi guru kini semakin diperlekehkan oleh masyarakat. Walaupun majoriti besar guru-guru terdiri daripada mereka yang memelihara kemas harga diri tetapi ingatlah, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya akan terpalit. Tanggungjawab siapakah sebenarnya memastikan bahawa setiap individu yang bernama guru memegang erat dalam memelihara maruah profesyen perguruan.

Kerbau yang seekor itu pun tidak dapat dikesan lumpurnya oleh warga guru yang lain adalah persoalan kepada permuafakatan guru. Jika komuniti guru peka dan mahir dengan pendekatan tanggungjawab azali, maka kerbau tersebut tidak akan berpeluang memalitkan lumpurnya kepada semua guru yang lain.

Bagaimanakah kita hendak dipercayai oleh masyarakat untuk menghidu kesilapan dan memperbetulkan anak murid sedangkan kita sendiri tidak dapat menghidu tingkah laku seorang guru dalam keluarga sendiri yang yang bermasalah. Walaupun statistik guru sedemikian tidak sampai 1%, tetapi ianya menggugat kredibiliti dan harga diri seluruh warga guru.

BERSAMBUNG DIARTIKEL AKAN DATANG..INSYALLAH..

Comments

  1. Tolong komen sikit pasal guru-guru yang merungut sebab jalankan tugas perkeranian dari sudut pandangan saudara

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK