Halatuju anda

Selain faktor harga diri dan tanggungjawab guru yang perlu diperbaharui semula, faktor hala tuju guru-guru pada hari ini adalah satu kemestian yang perlu direvolusikan semula secara total.

Hala tuju yang dimaksudkan di sini ialah sikap dan keinginan guru-guru untuk melangkah lebih jauh lagi daripada apa yang dicapainya pada hari ini. Melangkah lebih jauh bermaksud mendalami ilmu yang mampu memberikan makna yang berguna bukan sahaja kepada diri sendiri malahan lebih dari itu, untuk melengkapkan bekalan ilmu kehidupan masa hadapan kepada anak didik yang dihadapinya pada hari ini.

Seorang pengembara bergantung kepada peta apabila beliau pertama kali menjejakkan kakinya kesatu destinasi yang asing baginya. Ada peta yang berbentuk umum dan ada yang terperinci mengikut kesesuaian. Sebagai seorang pengembara, peta yang terperinci sangat membantu pengembaraan berbanding sebuah peta yang umum.

Begitu jugalah hakikatnya dengan senario warga guru. Buku panduan sukatan pelajaran disediakan oleh pihak kementerian sebagai memberi kerangka besar berhubung tahap ilmu pengetahuan yang perlu diterjemahkan dalam bentuk pengajaran kepada anak didik setiap awal tahun.

Pihak kementerian telah membuat kajian terperinci dan melakukan pelbagai lapisan ujian sebelum memantapkan kurikulum mengikut tahap umur agar ianya saling berkaitan dan berterusan apabila pelajar meningkat umurnya saban tahun.

Buku panduan tersebut diperincikan dengan begitu rapi agar guru yang mengajar dapat memahami dengan jelas tanpa sebarang keraguan. Bukan sahaja memberikan contoh malahan lukisan juga dapat dilihat dalam buku panduan ini semata-mata untuk memastikan guru mendapat gambaran dengan mudah sebelum memikirkan sendiri idea mereka. Tanpa buku panduan ini guru-guru sudah pasti kehilangan punca kerana tidak pasti apa yang perlu diajar dari hari ke hari.

Sudah semestinya guru-guru berterima kasih kepada buku panduan tersebut kerana telah menyiapkan laluan kepada mereka tanpa perlu bersusah payah mencari hala. Malahan ada yang sangat memanfaatkan buku panduan tersebut dengan optimum, menyalin bulat-bulat segala contoh yang diberi didalam buku panduan kepada para pelajarnya semasa pengajaran dan pembelajaran.

Sekiranya pada tahun berikut beliau diperlukan mengajar subjek yang sama kepada tahap yang sama maka beliau sebenarnya hanya melakukan pengulangan. Bayangkan jika selama lima tahun guru tersebut melakukan rutin yang sama nescaya guru tersebut menjadi mahir dengan apa yang perlu diajar setiap hari.

Ironinya, tiada perkembangan terbaru dalam kaedah mengajarnya pada setiap tahun. Hanya murid yang berubah wajah namun kaedah mengajar beliau tetap statik. Seandainya pada tahun lepas terdapat kelemahan dalam teknik penyampaiannya pada bahagian tertentu, apa yang diperhatikan hal tersebut tidak menjadi satu masalah baginya.
Hal ini sering terjadi disebabkan oleh guru tidak memiliki hala tuju. Jika guru sendiri tiada hala tuju maka kemanakah haluan yang boleh dijanjikan kepada anak didiknya.

Maka halatuju yang dimaksudkan disini ialah, apakah perkembangan yang hendak dicapai oleh kita hari demi hari. Kita perlu menjadi lebih bagus dan lebih cemerlang daripada hari semalam iaitu matlamat kita agar halatuju kita sering berlandaskan kepada komitmen mencapai matlamat tersebut.

Untuk menjadi lebih cemerlang dari hari semalam, kita memerlukan kekuatan dalaman yang konsisten serta menyintai perkara yang kita lakukan. Seorang guru perlu menyintai kerjayanya sebagai guru. Kecintaan kita pada kerjaya akan menghasilkan pelbagai perasaaan positif yang akhirnya membentuk keunggulan diri dan kecemerlangan kerja.

Seorang guru yang unggul perlu mempunyai matlamat dalam hidup mereka dan ianya harus berkait rapat dengan pembangunan dan peningkatan diri guru sendiri. Peningkatan yang mempunyai nilai kecemerlangan murni terhadap diri sendiri, anak didik, profesion perguruan, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK