Jatidiri Guru Bhg 2

Pelik untuk menyatakan bahawa tugas guru tidak mempunyai risiko berbanding tugasan profesyen lain. Risiko yang mampu dinyatakan oleh guru-guru secara umumnya ialah keselamatan para pelajar sewaktu di bawah pengawasan mereka adalah tugas berat yang dipikul. Hanya sedikit yang mampu menterjemahkan risiko dari segi mental dan emosi apatah lagi tentang kelakuan dan adab pelajar secara menteladani tingkahlaku guru-guru yang tidak diuruskan dengan baik. Terlalu tinggi sebenarnya risiko seorang guru jika dihalusi.

Guru menghasilkan produk dalam bentuk jiwa berbanding kebanyakan profesyen ikhtisas yang lain di mana puratanya dibayar atas tahap risiko kerja. Tetapi kegagalan guru melihat risiko yang dipikulnya menyebabkan masyarakat juga gagal melihat risiko mereka.

Dalam hal ini, guru-guru perlu berfikir kembali rasional kepada penarafan masyarakat terhadap kerjaya mereka. Setiap individu yang bernama guru perlu bertanggungjawab di atas pemulihan semula kepercayaan rakyat terhadap profesyen perguruan. Kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa jika kita beranggapan pemulihan reputasi ini harus ditanggung oleh kerajaan, maka selama-lamanya kerjaya sebagai seorang guru diklasifikasikan sebagai kerjaya kelas dua.

Menyedari peluang yang ada kini untuk membuat revolusi besar-besaran terhadap kredibiliti dan mengembalikan kepercayaan rakyat serta rasa hormat mereka terhadap kerjaya perguruan, maka tindakan yang paling berkesan ialah muhasabah dalaman yang diambil atas inisiatif setiap sekolah terhadap warga kerjanya. Kita perlu menghentikan sikap lama dalam budaya masyarakat kita yang perlu menunggu lampu hijau dari pihak atasan untuk melaksanakan sesuatu perubahan yang jelas membawa manfaat.

Muhasabah dalam keluarga yang kecil adalah lebih berkesan kerana pemantauan dalaman mampu menyelesaikan masalah dengan segera. Hentikanlah majlis besar-besaran dengan menjemput pegawai-pegawai pendidikan daerah, negeri atau kementerian untuk merasmikan majlis muhasabah tersebut kerana ia tidak bersifat keikhlasan sebaliknya lebih kepada agenda tersembunyi.

Muhasabah untuk memperbetulkan kembali halatuju setiap guru memerlukan jatidiri setiap ahli keluarga. Jatidiri yang unggul lahir dari kesedaran tanggungjawab setiap individu kerana tanpa penekanan tersebut setiap individu yang masih lagi terpinga-pinga akan terus menjadi duri dalam daging. Setiap guru perlu akur bahawa mereka adalah insan istimewa yang berbeza tingkahlaku nya berbanding manusia lain di bumi ini. Guru perlu menyedari hakikat ini dan bertindak seperti yang diamanahkan. Selagi guru gagal menyedari keistimewaan mereka berbanding manusia lain selagi itulah martabat guru terus dipandang sepi oleh masyarakat.

Jati diri seorang guru terlalu mencabar untuk digalas dewasa ini kerana label yang diberikan oleh masyarakat terhadap mereka. Walau sejauh manapun perubahan yang bakal diambil oleh guru-guru masyarakat tetap memandang sinis terhadap tindakan mereka. Di sinilah jati diri unggul setiap warga guru dituntut untuk benar-benar meyakinkan masyarakat bahawa guru-guru komited menyediakan satu suasana yang kondusif dan mampu menghasilkan produk yang kompetitif untuk berdepan dengan globalisasi masa hadapan.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK