BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL

Assalamualaikum Pak Pandir

Terima kasih kerana komen anda melalui posting "Bolehkah Kita Bersatu". Saya rasa gembira kerana anda memperjuangkan permasalahan guru kita. Saya memang menunggu feedback sebegini kerana sekurang-kurangnya saya ditegur jika kenyataan dan pendapat saya menyinggung perasaan beberapa pihak.

Bukan semua manusia yang terpilih untuk menjadi guru. Tuhan telah memilih manusia-manusia yang hebat sahaja untuk menjadi guru. Ada guru yang tidak menyedari betapa istimewanya mereka apabila ditakdirkan oleh Tuhan untuk menjadi guru.

Ramai berpendapat betapa kualiti guru pada hari ini semakin menurun. Pendapat mereka berasaskan betapa  guru-guru pada hari ini memilih kerjaya tersebut sebagai pilihan terakhir. Mungkin ada kebenarannya. Tetapi walau apa pun niat sebenar, sekali mereka menjadi guru, mereka harus memikul amanah tersebut dengan sebaik-baiknya. Seorang guru harus menjadi superman/superwoman.

Alangkah bahagianya dunia ini jika ibubapa dan masyarakat bersama-sama dengan guru memikul tanggungjawab mendidik anak-anak. Namun secara realitinya apa yang dilihat pada hari ini terdapat sebilangan ibubapa yang menolak terus tanggungjawab tersebut kepada para guru. Jika demikianlah halnya, apabila guru juga menolak untuk memikul tanggungjawab tersebut, maka apa akan jadi kepada para pelajar kita?

Terdapat ramai guru diluar sana yang melaksanakan tanggungjawab ini dengan ikhlas. Mereka memahami akibatnya jika mereka juga melepas tangan terhadap permasalahan ini. Mereka melakukannya dalam keadaan yang senyap dan tidak merungut kerana mereka ikhlas.

Saya melepaskan jawatan sebagai guru pada tahun 1996. tetapi jiwa saya masih lagi sebagai seorang guru. Saya aktif menjalankan kursus pembangunan insan kepada guru-guru dan berkongsi teknik untuk menangani rutin kerja harian mereka. Saya juga menjalankan kursus kreativiti dan inovasi kepada guru-guru, tenaga pengajar dan pensyarah Institusi Pengajian Tinggi. Modul-modul latihan ini saya bangunkan sendiri berasaskan kepada pemerhatian saya tentang permasalahan domestik. Saya memperjuangkan kredibiliti para guru secara praktikal. Saya berkongsi idea untuk sama-sama meningkatkan pengetahuan dan semangat para guru.

Golongan guru yang berminat untuk memperkayakan pengetahuan mereka memang ramai di luar sana. Golongan ini tidak merungut tentang beban tugas tambahan kerana jiwa mereka terlalu murni. Tekniknya ialah mereka tahu membahagi masa dan mengawal emosi. Apabila mereka berada dikalangan pelajar, mereka menunjukkan kasih sayang yang berkualiti kepada pelajar dan apabila mereka sampai dirumah, mereka akan mencurahkan kasih sayang yang tuklus ikhlas kepada keluarga mereka. Pucuk pangkalnya ialah keikhlasan dalaman mereka.

Teguran yang diberikan dalam blog ini adalah untuk tatapan para sahabat guru di luar sana kerana terkadang kita lalai seketika dalam memikul tanggungjawab yang berat ini. Saya berpegang kepada penyataan JIKA TIDAK MEMBANTU TIDAK MENGAPA, TAPI JANGAN MENYUSAHKAN. Maksudnya kepada para guru yang merasa letih dalam profesyen ini, janganlah menimbulkan masalah sehingga mencemar kredibiliti profesyen ini dimata masyarakat. 

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK