Monday, December 6, 2010

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK

Peperiksaan SPM dan STPM hampir tiba ke penghujung. Para pelajar yang menduduki peperiksaan akan menarik nafas lega namun degupan jantung para guru disebaliknya. Semakin dekat dengan pengumuman keputusan peperiksaan debaran para guru kian kencang. Jika kerisauan pelajar hanyalah berkisar mengenai diri masing-masing tetapi kegusaran para guru adalah berkaitan dengan keseluruhan anak didiknya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Seolah-olah peperiksaan itu adalah untuk menguji kecekapan guru mengajar ( sesuatu yang harus difikirkan!!!)

Saya teringat sewaktu pengumuman keputusan UPSR tempohari secara khususnya. Seorang pelajar ini membuat kenyataan betapa terkejutnya beliau dengan keputusan cemerlang yang diperolehi memandangkan beliau sering tertidur di dalam kelas. Maknanya bukanlah disebabkan oleh guru yang menjadikan beliau cemerlang. Pelajar yang lainnya menyatakan resipi kejayaan adalah tuisyen yang diikuti serta usaha keras mereka mengulangkaji pelajaran. Hampir tidak kedengaran dari mulut pelajar tentang jasa guru yang menyebabkan mereka pandai.

Diharapkan para guru akan berterusan mengajar dan mendidik dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan balasan dan pujian. Inilah punca masalah para guru pada hari ini; mengajar tetapi tidak mendidik. Banyak perbezaannya diantara mengajar dan mendidik. Mengajar akan menjadikan pelajar kita PANDAI tetapi jika kita mendidik, pelajar akan menjadi BIJAK. Mendidik memerlukan ketabahan. Ketabahan dan ketulusan yang datang dari dalam diri guru yang ikhlas. Pelajar boleh merasakan ketulusan guru sewaktu pengajaran. Mereka boleh membezakan guru mana yang mengajar dan guru mana yang mendidik.  Pelajar yang memiliki guru yang mendidik selalunya akan mempunyai pekerti yang mulia dan tahu menghormati pengorbanan dan ketulusan guru mereka.

Diharapkan tahun 2011 akan membuka lembaran baru kepada para guru agar meneruskan iltizam mendidik dengan kasih sayang.