Bagaimana Inovasi Bermula

Manusia yang hidup pada peringkat awal kewujudan manusia merupakan manusia yang sangat hebat. Kehebatan mereka adalah kerana kemampuan mereka menghadapi cabaran untuk hidup. Cabaran utama kepada kehidupan ialah untuk terus memastikan mereka hidup. Bagi memastikan mereka terus hidup, mereka memerlukan tenaga. Tenaga tersebut datangnya daripada makanan. Tidak keterlaluan untuk dirumuskan bahawa perjalanan kehidupan mereka pada waktu itu adalah menjurus kearah mencari makanan. Mereka perlukan makanan untuk memastikan mereka terus hidup.

Untuk mendapatkan makanan maka mereka perlu mencari benda yang boleh dimakan. Melalui pengalaman maka mereka telah mengenalpasti apa yang boleh dimakan dan apa yang memudaratkan. Kemungkinan pada peringkat awal makanan utama mereka hanyalah sumber yang berasal daripada daging. Untuk mendapatkan daging ini maka mereka perlu memburu, memancing, menjerat dan sebagainya. Peralatan yang digunakan merupakan hasil ciptaan masing-masing. Mereka sentiasa mempertingkatkan potensi peralatan bagi memudahkan proses mendapatkan makanan.

Setelah lama hidup memburu,  perolehan terhadap bekalan daging ini menjadi semakin tertekan akibat daripada faktor seperti musim dan juga persaingan memburu dikawasan yang sama. Bagi mengatasi masalah tersebut, maka usaha untuk membela haiwan tersebut telah dijalankan. Bermulalah era penternakan bagi memastikan bekalan daging sentiasa berterusan.

Selain daripada itu, penemuan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan serta karbohidrat semakin popular. Bermula dengan pencarian sumber didalam hutan, manusia pada zaman itu mula mengaplikasikan konsep menanam semula untuk menjamin bekalan konsisten seterusnya bermulalah konsep pertanian.Kawasan pertanian dan penternakan menjadi semakin besar dan pelbagai kaedah penjagaan ditemui.

Nyata, mereka merupakan perekacipta kepada ketamadunan yang kita alami pada hari ini. Apa yang telah mereka hasilkan pada waktu tersebut merupakan asas kepada teknologi pada hari ini. Itulah inovasi sebenar. Tanpa memerlukan sebarang galakan inovasi, mereka berterusan menghasilkan inovasi kerana ianya menentukan kesinambungan hidup. Mereka terpaksa berinovasi untuk mempermudahkan kehidupan mereka.


Justeru, inovasi itu sebenarnya merupakan salah satu sikap manusia bagi memastikan kelangsungan hidup. 

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK