Sunday, August 2, 2009

FENOMENA WARGA GURU BHG 1

Guru, manusia yang ditakdirkan oleh Tuhan untuk mendidik golongan manusia yang lain. Takdir yang telah ditentukan sejak dia dicipta. Seorang guru sebenarnya sendiri kurang pasti pada awalnya mengapa dia menjadi seorang guru. Perjalanan seorang guru, sejak ia bertatih hingga membuat keputusan menjadi seorang guru sememangnya telah tersurat.

Manusia yang berkeinginan menjadi seorang guru, yang pada awalnya dinamakan cita-cita, tidak melihat kenyataan di sebalik pahit getirnya seorang guru. Manusia yang tidak dapat menempatkan dirinya kepada cita-cita asalnya pula, guru menjadi pilihan. Manakala, manusia yang didorong untuk menjadi guru oleh ibubapa pula merupakan anak yang mematuhi asuhan ibubapa, walaupun jauh di sudut hati telah terpendam cita-cita yang lebih tinggi.

Biar apapun cita-cita asal seorang manusia itu, sebaik dia melangkah kedalam bilik darjah untuk mengajar buat pertama kali, dia dinamakan guru. Maka bermulalah episod ketentuan takdir.

Namakan apa sahaja kerjaya di atas muka bumi ini, siapakah mereka seandainya tiada guru yang mendidik. Waima Perdana Menteri sekalipun, adalah produk yang dihasilkan oleh pekilang yang bernama guru. Nyata sumbangan guru mencakupi hampir seluruh alam yang dijadikan Tuhan ini. Setiap manusia yang berjaya di muka bumi ini adalah hasil titik peluh guru-guru yang mendidik mereka.

Jangan lupa mereka yang hanyut di muka bumi ini yang digelarkan orang sampah masyarakat juga merupakan produk seorang guru. Jika kita berbalik kepada kenyataan bahawa setiap manusia di muka bumi ini adalah produk keluaran guru, maka adakah guru mengeluarkan produk mereka yang berjaya sahaja? Siapakah yang mendidik golongan yang terpinggir ini?

Tentu sekali jawapan seorang guru mereka itu terdiri daripada golongan yang tidak mahu bersekolah dan ibu bapa tidak memainkan peranan menghantar anak ke sekolah.
Dalam konteks ini, guru lebih tepat diibaratkan sebagai akar. Hukum alam, biar apapun bentuk dan saiz sebatang pokok, kehidupannya tetap bergantung kepada akarnya. Akar yang menyumbangkan segala nutrien untuk memastikan pokok itu terus hidup ataupun hidup segan mati tak mahu.

Sering kali, apabila membicarakan golongan terpinggir, kita mencapahkan kesalahan kepada pihak-pihak yang lain seperti ibu bapa dan sekeliling. Untuk kesekian kalinya, marilah kita menumpukan persoalan ini dalam golongan guru sahaja dan mengenepikan buat seketika persoalan penyumbang yang lain.

Kita berbicara dalam kelompok guru dan melihat satu persatu masalah ini tanpa dipengaruhi oleh kriteria luar. Kita berbincang sebagai satu keluarga yang bernama guru. Berbincang melalui sudut pokok walaupun guru tersebut seorang guru Tadika.
Amanah Tuhan adalah jelas. Guru bertanggung jawab mendidik anak muridnya sebaik mungkin agar mereka boleh mentadbir diri, keluarga, negara malahan dunia. Tetapi sejauh mana seorang guru itu menerima hakikat bahawa dia ditakdirkan oleh Tuhan untuk menjadi seorang guru itulah yang membezakan kualiti seorang guru.

Seorang guru yang memahami sepenuhnya perihal takdir ini, akan menyedari nilai amanah yang dipikulnya manakala sebahagiannya lagi hanyut ditelan hipokrasi.
Terima kasih kepada guru-guru yang ikhlas dalam mendidik anak-anak murid mu. Hanya Tuhan yang mengetahui betapa mereka telah menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.
Mengapa dunia perguruan di negara kita semakin dipersoalkan? Tidak tercabarkah guru-guru apabila media massa mendedahkan masalah kita? Masyarakat pun bertanya, benarkah perkara ini berlaku?

Lewat kini, masalah sosial didedahkan melalui media massa bertalu talu dan timbul bunyi mengatakan bahawa kejadian tersebut hanyalah tidak sampai satu peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di negara kita.

Jangan salahkan media massa. Mereka bertindak atas keprihatinan dan sikap penyayang mereka agar masalah ini diatasi. Mereka bertindak atas suara rakyat. Tetapi mereka malu untuk mengajar guru bagaimana caranya untk mengatasi masalah ini kerana mereka tahu, gurulah merupakan golongan yang arif dalam menangani masalah tersebut.

Seorang pelajar yang pintar melihat gurunya sebagai seorang guru yang berkualiti. Di suatu sudut yang sama, di dalam bilik darjah yang sama, mengapa ada pelajar yang membenci guru tersebut? Tanpa mempersoalkan siapa pelajar-pelajar ini, bolehkah kita mengkategorikan guru tersebut sebagai seorang guru yang berkualiti?

Guru ibarat lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain. Suatu pepatah yang sungguh relevan ditujukan kepada golongan guru. Tetapi persoalannya, sejauh manakah seseorang guru itu sanggup membakar lilin tersebut? Sebatang atau separuh atau suku?

Seorang guru yang berkualiti bergantung kepada keikhlasannya. Ikhlas dalam segala soal. Ikhlas untuk mendidik kesemua anak didiknya mencapai kecemerlangan. Bukan untuk mengharapkan ganjaran atau pujian mahupun anugerah, tetapi ikhlas untuk melihat kejayaan kesemua anak didiknya.

Tidak salah rasanya, apabila dikatakan keputusan peperiksaan pelajar sebenarnya merupakan kayu ukur kepada kualiti seorang guru. Perjanjian kita, untuk melihat sudut-sudut ini dari perspektif perbincangan keluarga guru dan tidak melihat kepada unsur-unsur lain. Lupakan persoalan murid yang lemah kerana seekor burung pun boleh didik untuk bertutur jika tuannya tabah dalam mendidik.

Seorang guru merasa amat berbangga melihat anak didiknya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Hatinya berasa puas kerana anak didiknya berjaya memahami apa yang diajarnya. Sebagai contoh, sekiranya dalam kelas yang diajarnya terdapat sepuluh orang pelajarnya yang mendapat A dalam peperiksaan SPM, beliau akan merasa kepuasan seolah-olah dia adalah guru yang terbaik.

Tetapi, bagaimana pula dengan dua pertiga pelajar lagi dan lebih malang lagi pelajarnya yang gagal?

Lebih menyeronokkan, gelagat sekolah-sekolah apabila keputusan peperiksaan diumumkan baik UPSR, PMR, SPM dan SPTM. Berebutlah guru-guru membuat statistik pencapaian pelajarnya dan mengumumkan bahawa terdapat peningkatan beberapa peratus dalam pencapaian A.

Maka pihak pentadbir memberi arahan supaya guru melipat gandakan usaha agar ditambah jumlah pelajar yang mendapat pangkat A pada tahun yang akan datang. Rasanya jarang sekali kedengaran sekolah-sekolah ini mempunyai target untuk mencapai 100%. Kerana pada pendapat mereka ianya sesuatu yang sangat mustahil untuk dijelmakan.

...bersambung..insyallah