KENAPA ANDA RASA ANDA TIDAK KREATIF?

Ramai orang berasakan bahawa kreativiti adalah milik sebahagian kelompok manusia sahaja. Mereka kata orang yang kreatif ini adalah "gifted". Pandangan ini menyebabkan ramai orang mengambil jalan mudah...AKU TIDAK KREATIF jadi tak perlu nak fikir teruk-teruk. Pandangan itu menjadi satu stigma dan memberi impak negatif kepada masa depan generasi akan datang.

Saya menyambut baik dasar ekonomi negara untuk berubah dari ekonomi berasaskan perusahaan menjadi ekonomi berasaskan inovasi. Tetapi berjayakah kita mencapainya? Adakah pihak atasan memahami level sebenar pemikiran rakyat dinegara ini? Bukanlah saya skeptikal, tetapi saya amat mengharapkan negara kita berjaya menjadi negara berasaskan inovasi dalam erti kata yang sebenar dan bukannya kosmetik semata-mata.

Untuk menjadi negara ekonomi berasaskan inovasi memerlukan rakyat yang berkemampuan. Rakyat yang hendak disediakan perlu bermula dari bangku sekolah lagi. Adakah pihak kerajaan benar-benar memahami masalah yang berlaku di peringkat sekolah?

Biar saya terangkan fenomena sebenar dan harapnya dapat menarik perhatian pihak Kementerian Pelajaran.

Untuk membuat sesuatu inovasi, kita memerlukan golongan manusia yang mampu berfikir secara logik. Untuk menghasilkan manusia yang mampu berfikir secara logik, kita memerlukan manusia yang mempunyai asas pengetahuan (fundamental) yang sangat kukuh.

Secara analoginya saya suka mengambil contoh orang yang memasak. Surirumah secara puratanya mampu memasak anggaran 20 lauk pauk. Ini kerana mereka diajar menghafal resipi. Makciknya ajar nak masak kari kena masukkan secubit garam, sesudu gula, bla bla bla.. Maka dia menghafal ramuan tersebut. Maka karinya akan mempunyai perisa yang sama sejak dia belajar memasak hingga ke tua.

Dibandingkan dengan Chef Wan, beliau mampu mencipta ratusan malahan ribuan menu baru. Mengapa? Kerana beliau tidak menghafal, sebaliknya memahami asas bahan. Contohnya gula rasanya manis, garam rasanya masin, kopi rasanya kelat bla bla bla.. Maka apabila bahan dicampurkan beliau boleh berfikir secara logik apakah kesannya. Maka seterusnya beliau mampu menghasilkan menu yang baru.

Sekiranya anda jelas dengan perenggan di atas, kesimpulannya ialah manusia memerlukan pemahaman pengetahuan asas yang sangat kukuh. Tetapi malangnya pelajar2 kita tidak memahami apa yang dipelajari. Mereka hanya menghafal seperti yang umum ketahui. Apabila mereka menghafal, maka mereka tidak akan dapat berfikir secara logik. Bila mereka tidak dapat berfikir secara logik, mereka tidak mempunyai daya menyelesaikan masalah dengan baik. Ini menggagalkan mereka untuk berfikir secara kreatif. seterusnya tidak dapat membuat inovasi yang baik.

Oleh itu, saya amat merasakan betapa pentingnya untuk memberi perhatian serius tentang perkara ini jika kita benar-benar ingin menghasilkan generasi yang kompetitif dimasa hadapan. Caranya, mereformasi minda guru agar mereka memahami konsep bagaimana untuk berfikir secara kreatif.

Jika pelajar yang dihasilkan pada hari ini adalah dari golongan yang menghafal, kelak apabila mereka menjadi guru, mereka juga akan mengajar dengan cara yang sama. Maka negara kita akan mempunyai rakyat yang tidak berubah dari segi pemikirannya. Maka, kemanakah halatuju negara kita apatah lagi tinggal 10 tahun sahaja untuk menjadi status negara maju. Negara yang maju tanpa rakyat yang berfikiran maju ibarat berjaya mencipta kereta tapi tiada jalanraya.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK