Mereformasikan Sistem Pendidikan Negara

Laporan Bank Dunia menyarankan Malaysia melaksanakan proses reformasi dalam bidang pendidikan bagi memenuhi hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi. Laporan tersebut berpendapat perlunya reformasi dilakukan melibatkan peringkat rendah dan menengah.

Benar sekali saranan Bank dunia tersebut. Mengapa kita perlu menunggu orang luar menyarankannya baru hendak memikirkannya.

Mengapa saranan tersebut timbul?.

Saya tidak menyalahkan sistem pendidikan tetapi lebih kepada pelaksanaan. Kegagalan utama kita ialah kita gagal menghasilkan pelajar yang mampu berfikir. Mengapa pelajar kita lemah berfikir? Kerana mereka tidak bertanya soalan. Mengapa pelajar kita kurang bertanya soalan? Kerana mereka tidak faham apa yang dipelajari. Maksudnya, guru-guru dan pensyarah kita gagal menghasilkan pelajar yang mampu menerajui negara pada masa hadapan untuk bersaing dengan negara maju lain di dunia.
Persoalannya, apa yang perlu direformasikan? Bukan sistem pendidikan, tetapi pelaksanaan.

Para Menteri tidak mendapat maklum balas yang tepat berhubung apa yang dialami oleh pelajar-pelajar kita. Mereka hanya mendapat data dari keputusan peperiksaan. Keputusan peperiksaan dinegara ini tidak mencerminkan keadaan sebenar tahap pemikiran pelajar di negara kita. Baik Kementerian Pelajaran mahupun Kementerian Pelajaran Tinggi.

Menteri patut turun padang, pergi ke sekolah, memilih beberapa orang pelajar secara rawak, dan tanya soalan berhubung apa yang dipelajari, contohnya meminta mereka menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan “medan magnet”. Atau buka mana-mana buku dan minta mereka menghuraikannya dalam bahasa yang mudah untuk difahami. Cuba lah.
Keadaan pelajar kita pada hari ini amat kritikal. Mereka benar-benar menghafal apa yang disampaikan. Situasi ini menyekat mereka daripada menjadi seorang yang mampu berfikir secara logik kerana mereka tidak menguasai kemahiran asas dengan baik. Jauh sekali untuk membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi.

Untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi, negara kita harus menjadi negara pengeluar. Barangan buatan Malaysia!! Apakah maksudnya barangan buatan Malaysia? Seandainya kita mengimport komponen dari luar dan hanya memasangnya di negara kita, bolehkah ianya dianggap sebagai barangan buatan Malaysia? Jika ya, berapa peratuskah komponen import yang dibenarkan untuk membolehkan ianya menjadi barangan buatan Malaysia? Contoh terbaik, telefon yang diimport dari negara China dan dipasang dinegara ini dipanggil barangan buatan Malaysia, bolehkah begitu?

Nyatanya, apa yang perlu dilakukan ialah mereformasikan pelaksana pendidikan di negara kita. Perkara ini serius. Jangan diutamakan keputusan peperiksaan kerana ianya menyebabkan banyak pihak berlumba-lumba untuk mencatat keputusan yang baik. Mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan memahami pelajaran dengan baik adalah dua perkara yang berbeza bagi kebanyakan pelajar. Pelajar yang menghafal untuk mendapat keputusan yang baik bukanlah penanda aras kepada pencapaian keputusan yang sebenar. Guru-guru dan Pensyarah patut dihantar berkursus untuk meningkatkan ilmu dalam bidang yang diceburi seperti Guru Fizik dihantar untuk mengukuhkan pengetahuan asas Fizik mereka agar mereka dapat menyampaikan ilmu dengan lebih baik dan mudah.

Kesimpulannya, para guru diperingkat rendah wajib melatih pelajar untuk menjadikan mereka pelajar yang banyak bertanya. Diperingkat rendah, apa yang ditekankan ialah bertanya, bertanya dan bertanya. Kita harus melatih mereka untuk sentiasa bertanya. Tidak malu untuk bertanya. Galakkan mereka bertanya.melatih mereka untuk tidak segan silu untuk bertanya apa sahaja. Ini tidak memerlukan perubahan di peringkat dasar. Ini boleh dilakukan oleh guru-guru sendiri dalam kelas.

Apabila mereka diperingkat menengah, mereka yang telah siap dengan kemahiran bertanya ini akan terus menerus bertanya tentang pengetahuan yang disampaikan. Ini membolehkan mereka menjadi pelajar yang mampu berfikir dengan kritis dan kreatif. Maka guru diperingkat menengah perlu mempunyai ilmu yang sangat tinggi kerana para pelajar dahagakan jawapan sebenar. Contohnya pelajar akan bertanya kepada guru Matematiknya, mengapakah unit “PIE” untuk mengukur diameter dan radius bersamaan dengan 3.142? Mengapa tidak 3.5 atau 4.7 dan sebagainya. Saya percaya jika ditanya kepada guru Matematik pada hari ini, jawapannya ialah, “itu formula yang telah disediakan”. Bermaksud guru-guru matematik kita tidak mendalami pengertian sebenar diameter dan radius.

Seterusnya apabila di peringkat IPT, saya percaya pelajar-pelajar ini akan menjadi seorang penuntut yang sangat berpotensi untuk menghasilkan pelbagai inovasi dan mampu memacu negara kita kearah kemajuan dan bersaing dengan negara-negara maju lain didunia.

Sekiranya pihak kementerian memandang remeh kepada permasalahan ini, percayalah, tahap pelajar kita yang akan menjadi generasi pengemudi masa depan negara akan berterusan dalam kegelapan. Negara kita akan berterusan menjadi negara pengguna dan hasrat negara untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 hanya tinggal angan-angan.

Comments

  1. Setiap kali naik seorang Menteri Pendidikan@Pelajaran maka akan timbullah satu perkara baru yang hendak dilaksanakan kononnya seiring dengan peredaran zaman, tetapi akhirnya kita tidak bergerak kemana-mana. Secara peribadi saya merasakan semua guru dibebani dengan tujahan sindrom LULUS PERIKSA. Semua pihak begitu teruja dengan pencapaian prestasi sekolah berbanding dengan keperluan men nghasilkan pelajar yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis. Cuma yang tinggal hanya catatan dalam Buku Rekod sahajalah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK