Tulus Ikhlas Anda

Bagaimana untuk memastikan konsistensi kita memikul jatidiri tatkala kita dihujani pelbagai cabaran yang tidak tertanggung sehingga memaksa kita menggadaikan jatidiri yang dibina?

Jawapannya berbalik kepada kesedaran tanggungjawab sebagai seorang guru. Tanggungjawab yang tidak ada tolak bandingnya atau tanpa prejudis kerana kegagalan kita membekalkan mereka dengan ilmu secukupnya bakal memberikan kesan yang berpanjangan terhadap pelajar tersebut apabila mereka meningkat dewasa.

Berat sungguh tanggungjawab tersebut dan nyata ia tidak sanggup dipikul oleh sebarangan manusia. Jika seorang guru enggan memikul tanggungjawab tersebut maka beliau harus memikirkan kembali secara serius kelayakan beliau memegang jawatan sebagai seorang guru.

Sesungguhnya di dalam hati setiap guru, ada disisipkan satu lagi kekuatan untuk meringankan beban tanggungjawab tersebut iaitu keikhlasan.

Hati yang ikhlas adalah jawapan mutlak kepada penyelesaian masalah tanggungjawab yang berat tersebut. Apabila kita telah menyedari amanah yang disangkut kebahu kita, sebagai manusia terpilih kita tidak boleh lari daripada menghadapi kenyataan tersebut.

Jika kita bertindak mengajar tanpa memikul tanggungjawab seperti yang diamanahkan maka tugas guru akan menjadi sangat mudah sehinggakan jawatan tersebut mampu disandang oleh sesiapa sahaja yang boleh membaca dan menulis.

Tetapi jika kita mengajar dengan memikul sama tanggungjawab yang diamanahkan maka tugas seorang guru adalah terlalu berat dan hanya insan terpilih sahaja yang dijadikan oleh Tuhan mampu menggalas tugasan tersebut. Bukan sesiapa sahaja seperti yang dilabelkan oleh masyarakat hari ini terhadap kerjaya perguruan.

Sungguh memilukan kerana kalangan guru sendiri tidak menyedari tugas dan tanggungjawabnya.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK