Monday, May 16, 2011

PLKN DALAM SEKOLAH

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
Sejak dimulakan pada tahun 2004, berbillion wang rakyat telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Tetapi saya tidak nampak hasil yang konkrit. Perpaduan kaum dinegara kita pada hari ini semakin merudum. Maka, apa justifikasi PLKN wajar diteruskan?

PLKN seolah tidak serius untuk mencapai matlamat yang diharapkan. Jika benar matlamatnya untuk membina sahsiah diri dan mengukuhkan perpaduan, maka mengapa pemilihan peserta dibuat secara rawak? Sepatutnya semua bekas pelajar pada tahun tersebut wajib terlibat kerana mereka semua yang akan memandu masa depan negara. 

Untuk memantapkan sahsiah diri pelajar dan mengukuhkan perpaduan, maka strategi PLKN perlu diubah. Program tidak perlu dijalankan selepas tamat Tingkatan 5. Perbelanjaan berbillion ringgit tersebut wajar digunakan untuk melatih sahsiah pelajar sewaktu mereka dibangku persekolahan dan bukannya apabila mereka telah tamat persekolahan.

Memandangkan tugas para guru semakin berat pada hari ini, adalah sewajarnya kakitangan PLKN bergerak dari dalam sekolah itu sendiri. Aturkan program-program latihan berkala kepada para pelajar sekolah untuk mencapai matlamat-matlamat yang digariskan. Sekolah-sekolah sendiri ada mengaturkan program sahsiah diri secara intensif kepada pelajar-pelajar dengan menjemput “ahli motivasi” yang tidak dikawal persijilannya. Maka ada baiknya program-program ini diambil-alih oleh PLKN dan diberi penambahbaikan.

Jika kita mengkehendakki sistem sekolah yang dinamik maka penglibatan pihak-pihak tersebut amat diperlukan. Sistem pembelajaran perlulah mempunyai unsur edutainment dan saya nampak unsur ini boleh dipikul oleh tenaga pengajar PLKN.

Buat silap tidak mengapa, tetapi jangan kita sekali-kali mengulangi kesilapan.