Bagaimana merealisasikan GENOVASI


Pada 1 Ogos 2012, kerajaan telah mengumumkan penubuhan Genovasi, sebuah entiti yang bertanggungjawab untuk membangunkan kemahiran inovasi dikalangan belia tempatan. Program ini bakal menghasilkan Duta Inovasi Negara yang membolehkan mereka mencipta kekayaan serta memperbaiki taraf hidup dinegara ini. tanggungjawab Duta Inovasi ini adalah untuk menghasilkan inovasi dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi serta sistem penyampaian kerajaan.

Usaha ini merupakan langkah yang paling tepat setelah beberapa inisiatif untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang inovasi dijalankan. Genovasi merupakan sebuah pusat kemahiran untuk melatih belia-belia kita menghasilkan inovasi dengan cara yang sistematik.

Kita sudah tentu hendak melihat bahawa inisitif ini benar-benar bakal mendatangkan hasil.
Pembinaan negara Malaysia yang maju perlu diterajui oleh sumber manusia yang berkualiti untuk menghasilkan perolehan ekonomi yang tinggi. Secara ringkasnya ekonomi ini memerlukan manusia serta produk untuk dijual dan mendapat hasil pulangan jualan. 

Kita semua maklum tentang produk yang dihasilkan oleh negara untuk menjana ekonomi. Hasil ekonomi Malaysia berasas kepada sektor pertanian, industri dan perkhidmatan. Produk yang dieksport terdiri daripada peralatan elektronik, minyak bumi dan gas semulajadi cair, kayu dan produk kayu, kelapa sawit, getah, tekstil, bahan kimia.

Jika dilihat, produk-produk eksport tersebut mempunyai tempoh jangkahayat ekonomi memandangkan ianya dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran seperti tidak stabil, tidak pasti, rumit dan tidak jelas. Bagi memastikan kemajuan negara berada dilandasan yang tepat, negara Malaysia perlu mengelakkan kebergantungan selesa terhadap produk-produk tersebut tetapi perlu menghasilkan lebih banyak produk yang lebih mapan sifatnya.

Cabaran ini bukan sahaja dihadapi oleh negara Malaysia tetapi menjadi fenomena global. Lantaran itu, negara-negara terkemuka didunia telah menghasilkan produk-produk baru untuk memastikan kemapanan ekonomi masing-masing. Produk yang dihasilkan adalah hasil daripada inovasi oleh sumber manusia yang berkualiti tinggi.

Lantaran itu, Malaysia memerlukan sumber manusia yang berkualiti tinggi agar dapat menghasilkan produk-produk berinovasi yang mampu dikomersialkan di pasaran domestik dan juga eksport. Sumber manusia inilah yang akan mengwujudkan persaingan pada abad ini dimana tahap inovasi tersebut akan mencerminkan kemampuan sesebuah negara untuk berjaya dan bersaing dalam dunia globalisasi. Sumber manusia berkualiti yang dimaksudkan ialah kemampuan mereka untuk berfikir secara kreatif dan seterusnya menghasilkan inovasi.

Beberapa pakar pemikir dunia sebelum tahun 2000 juga telah melihat kepada fenomena kreativiti inovasi ini yang akan mendominasi ekonomi dunia.  Ayan dalam terbitannya menyatakan: “As we approach the year 2000, I, along with many other experts, predict that Creativity will become one of the most important personal and business strategies for survival and success.” ( Ayan, 1997).

Menyedari hakikat bahawa inovasi bakal menjadi faktor kekuatan ekonomi sesebuah negara, maka kerajaan terus menggarap strategi pembentukan masyarakat berinovasi melalui pelbagai program dan pembentukan beberapa agensi berkaitan inovasi.

Pembentukan masyarakat inovasi hanya akan berjaya jika kerajaan dapat memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan.

Maka pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21.

Saya akan memberi pandangan lanjut dalam artikel akan datang berhubung bagaimana kaedah sebenar untuk membentuk generasi inovasi yang benar-benar mampu membantu meningkatkan pendapatan negara. Insyallah

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

MEMBENTUK KREDIBILITI GURU

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK