Pembangunan Insan

Pembangunan insan merupakan suatu proses yang terpenting dan menjadi kayu ukur kehidupan sebenar seseorang manusia. Manusia amat memerlukan kemahiran tertentu untuk hidup. Dari kecil mereka belajar berjalan, berlari, melompat dan seterusnya membaca, menulis dan mengira. Manusia belajar untuk mengharungi kehidupan. Mereka belajar mengenai sebab dan akibat. Terlalu banyak benda yang perlu dipelajari mengenai kehidupan.

Zaman persekolahan merupakan platform terbaik untuk membentuk insan melalui didikan dan asuhan yang diperlukan. Objektif utama pendidikan tidak pernah berubah prinsipnya untuk membekalkan ilmu kehidupan yang diperlukan oleh anak didikan sebagai bekalan menghadapi masa depan mereka.

Malangnya, objektif utama ini semakin tersisih jauh dan tinggal sebagai suatu slogan. Ianya tidak lagi menjadi tiang utama dan inilah punca sebenar sistem pendidikan kita pudar kualitinya.

Apa yang lebih ditekankan pada hari ini ialah tahap pencapaian akademik melalui peperiksaan. Para pelajar dipaksa menguasai matapelajaran yang ditetapkan walaupun mereka tidak mempunyai minat terhadap matapelajaran tersebut. Sekolah pula berlumba-lumba untuk menonjolkan kebolehan mereka melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik.

Guru-guru berlumba-lumba membuktikan kebolehan mereka mengajar dengan melihat pencapaian anak didiknya. Ibubapa terus menerus memastikan anaknya bakal cemerlang dalam peperiksaan dan bagi yang berkeupayaan dari segi ekonomi, akan membuat pelaburan besar menghantar anak mereka ke kelas tuisyen siang dan malam.

Bayangkan pelajar-pelajar yang terpaksa belajar dari pagi hingga ke malam semata-mata bagi memenuhi impian ibubapa, guru dan sekolah. Mereka hanya mampu mengeluh tetapi tidak berkeupayaan untuk menyuarakan kehendak hati sendiri.

Sewajarnya bagi sebuah negara yang berusia melepasi 50 tahun mencapai kemerdekaan kita perlu lebih matang dalam melaksanakan perancangan. Seandainya perancangan yang dibuat memerlukan perubahan drastik, mengapa tidak dilaksanakan dengan kadar segera. Terlalu banyak kekangan yang remeh temeh diambilkira belum kira karenah birokrasi serta permasalahan dasar dan polisi.

Semua ini berlaku kerana sikap guru di negara ini yang masih stereotaip. Ibubapa masa kini adalah produk sistem pendidikan yang sama pada masa dahulu. Maka corak mereka mendidik anak-anak juga berbentuk sama. Guru-guru yang mengajar juga adalah produk yang sama dengan ibubapa tadi, maka mereka terus-terusan mendidik sebagaimana mereka dididik.

Kesannya, anak-anak hari ini tetap akan menjadi seperti kita dan proses ini akan berterusan kegenerasi yang seterusnya. Terlalu banyak faktor-faktor langsung dan tidak langsung yang terbabit menyumbang kepada kekalutan ini dan sistem pendidikan merupakan tiang seri utama kepada pembentukan negara yang gemilang pada masa hadapan.

Kesimpulannya, satu revolusi minda guru-guru perlu dilakukan dengan kadar segera untuk menangani masalah ini serta membasmi kesinambungan kebejatan hari ini daripada menjangkiti gologan guru generasi akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

Lawatan ke rumah pelajar

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK