REVOLOSI MENTAL

Sebagai peneraju utama kepada pewaris generasi negara masa hadapan, Institusi Pendidikan perlu menilai semula prestasi mereka dan bertanggungjawab penuh untuk ikhlas memperbetulkan kesilapan yang berlaku dengan komitmen yang jitu.

Seandainya sesuatu pendekatan yang telah dilaksanakan pada hakikatnya tiada integritinya maka segeralah bertindak memperbaiki keadaan dengan penuh ketulusan.
Untuk meletakkan negara Malaysia dihormati dikalangan negara-negara maju, perkara utama yang perlu dibangunkan tidak lain dan tidak bukan ialah rakyatnya. Rakyat negara ini yang perlu dibangunkan terlebih dahulu kerana mereka merupakan tenaga penggerak yang akan memacu negara ini berdepan dengan cabaran globalisasi secara kolektif. Tidak ada gunanya jika memiliki ekonomi dan teknologi yang canggih tetapi rakyat negara ini tidak mempunyai daya saing yang tinggi kerana lambat laun kecemerlangan tersebut akan merosot akibat ketidakmampuan berdepan dengan saingan dan cabaran.

Revolusi Mental perlu menjadi fokus kepada pembangunan insan di negara ini. Sehubungan itu, Institusi Pendidikan wajar memperbetulkan keadaan yang sedang menjiwai rakyat negara ini.

Generasi yang telah melepasi zaman pendidikan formal merupakan kayu pengukur kepada tahap stereotaip pencapaian mentaliti rakyat negara. Natijahnya jadikanlah ia sebagai sumber keinsafan atas kelalaian memikul tanggungjawab masa depan negara.
Apakah yang lebih menjadi kebanggaan untuk negara ini selain dari melihat generasi masa depan memimpin Malaysia seiring dengan negara-negara maju di dunia dengan penuh kehormatan atas kredibiliti sendiri?

Melihat kepada corak mentaliti masyarakat di negara ini, kita tidak dapat melarikan diri daripada mengaitkan kebolehan mereka dengan hasil pendidikan yang diterima oleh mereka. Seperti contoh yang diterangkan sebelum ini, rakyat Malaysia secara puratanya kurang memiliki keupayaan membuat unjuran dan ramalan tentang kesan pada jangka masa panjang. Ramalan yang dimaksudkan ialah secara saintifik dan melibatkan analisa teknikal.

Andainya guru-guru tidak memiliki kemahiran tersebut menyebabkan mereka juga tidak dapat mendidik pelajar agar menjadikan ianya sebagai suatu budaya berfikir. Jika adapun hanyalah soalan ramalan peperiksaan. Tetapi bagaimana soalan tersebut boleh diramal tidak menjadi suatu agenda penting dalam hidup mereka. Yang diperlukan ialah buku ramalan yang telah siap dicetak dan boleh digunakan kepada pelajarnya agar mereka dapat lulus dalam peperiksaan.

Banyak lagi perkara berkaitan dengan mentaliti rakyat Malaysia yang boleh ditakrifkan menjadi ikon. Lazimnya ikon ini boleh diperhatikan secara jelas sewaktu mereka menghadiri temuduga.

Kelemahan ketara adalah dari segi kreativiti yang merupakan aset utama manusia yang diklasifikasikan sebagai cemerlang. Rata-rata rakyat Malaysia menampilkan ikon yang sama apabila diajukan persoalan. Mereka juga tidak proaktif dan tidak banyak membaca. Purata mereka pula tidak mempunyai kemahiran pengucapan yang baik.
Untuk melihat sebab yang menyumbang kepada kejadian tersebut, kita perlu kembali semula ke dalam kawasan sekolah untuk bersama dengan warga guru yang diamanahkan untuk mendidik para pelajar mereka.

Sebagai seorang guru, kita juga memiliki corak dan gaya pemikiran tersendiri. Cara kita berfikir akan menyebabkan kita bertindak melalui apa yang yang kita fikirkan perlu. Apabila kita berhadapan dengan seseorang buat kali pertama, mereka tidak dapat meramalkan tindakan yang akan kita ambil kerana cara berfikir manusia berbeza di antara satu sama lain. Tetapi apabila kita sering berhubung dengan seseorang, mereka seringkali sudah dapat membuat jangkaan terhadap tindakan yang akan diambil oleh kita. Ini disebabkan oleh corak dan gaya pemikiran kita yang konsisten.
Jika begitu keadaannya, maka seorang guru yang berhadapan dengan pelajar yang sama pada setiap hari bukan sahaja memindahkan ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada murid malahan beliau juga memindahkan corak pembawaan dan pemikiran beliau kepada pelajar tersebut.

Begitulah kuatnya pengaruh yang dimiliki oleh seorang guru sehinggakan apa sahaja yang diajar walaupun terdapat kesilapan seringkali diperakui benar oleh para pelajar. Sayang sekali kita tidak mengambil kesempatan ini untuk membentuk anak didik agar memiliki mentaliti yang berpotensi tinggi kerana kita sendiri sebagai seorang guru tidak mementingkannya.

Revolusi mental adalah suatu tekad untuk mengubah keadaan hari ini. Keadaan hari ini agak jauh meninggalkan rakyat Malaysia kebelakang dan sekiranya tidak diatasi maka ianya semakin jauh.

Revolusi mental memerlukan pengorbanan warga guru terhadap maruah diri mereka. Bukannya mengorbankan maruah guru, tetapi maruah individu yang bernama guru kerana kali ini mereka perlu mengakui telah melakukan kesilapan besar dalam hidup hasil daripada kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku.

Terlalu banyak perkara berhubung mentaliti dan nilai kewibawaan yang perlu dikenalpasti agar ianya dapat diperbetulkan kembali satu persatu. Namun apa yang pasti, perkara utama ialah mengakui bahawa kita perlu mengakui kelemahan dalam diri dan bersedia untuk mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya atas nama kesedaran tanggungjawab.

Di bahagian seterusnya nanti, insyallah akan terdapat beberapa isu yang dibangkitkan bertujuan menguji kemampuan guru-guru untuk membuat revolusi terhadap corak berfikir yang disebutkan. Hayati setiap isu dan gunakanlah gaya pemikiran anda untuk mentafsir isu yang dipaparkan disetiap penghujungnya.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

Lawatan ke rumah pelajar

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK