FENOMENA WARGA GURU BHG 5

Kreativiti merupakan suatu ciri yang perlu ada pada semua guru. Samada menghadiri kursus ataupun dipupuk secara kendiri, kreativiti dapat menjamin mutu pengajaran yang berkualiti. Contohnya mata pelajaran kemahiran hidup. Di dalam sukatan pelajaran telah digariskan kemahiran yang perlu diajar kepada murid. Disertakan sekali contoh sebagai panduan kepada guru. Tetapi apa yang berlaku?

Jika didalam sukatan pelajaran memberi contoh membuat projek pembaris, maka di seluruh negara guru-guru mengajar cara membuat pembaris. Guru tidak dapat mengadaptasikan kemahiran yang perlu diajar dengan membuat projek selain dari contoh. Bagaimanakah kita hendak mencungkil bakat kreativiti pelajar sedangkan guru sendiri tidak menunjukkan kreativiti yang perlu dimiliki.

Berbalik kepada persoalan pokok, bidang akademik adalah satu kemestian yang perlu diberi keutamaan oleh guru. Baik dari segi perancangan, ringkasan mengajar, alat bantu mengajar, pengajaran, latihan dan pemeriksaan buku latihan adalah proses yang perlu disusun atur dengan teliti dan tidak ada lebih kurangnya. Inilah amanah yang perlu dipikul oleh guru. Jika salah satu daripada proses-proses tersebut diambil ringan, maka keseluruhan proses itu tidak dapat mencapai objektif yang dirangka.
Pemahaman kesemua pelajar merupakan niat yang perlu dipasang oleh setiap guru setiap kali memasuki bilik darjah. Kaedah pengajaran yang dipelajari harus dipraktikkan dengan optimum. Pelajar pintar perlu diberi pengayaan dan pelajar yang lemah perlu diberi pemulihan. Tetapi sebilangan guru memandang ringan persoalan ini. Jika tidak, masakan ada pelajar yang masih gagal dalam kelasnya.

Untuk mengelakkan guru menunding jari kepada guru yang mendidik pelajar terkandas pencapaian di tahun sebelumnya, eloklah kita melihat sikap dan kelemahan kita sendiri. Jika kita membiarkan pelajar tersebut terus hanyut dengan kegagalannya, maka guru yang akan mengajar pelajar tersebut di tahun berikut akan pula menyalahkan kita. Maka berterusanlah rantaian kegagalan pelajar tersebut.

Disinilah pentingnya permuafakatan guru diserikan dengan keikhlasan masing-masing untuk menunaikan amanah yang diberikan Tuhan. Menyedari tanggung jawab yang berat ini, kesemua warga guru perlulah berfikir dan merenung kembali apa yang telah dilakukan sebelum ini dan sujud memohon ampun kepada Tuhan atas kegagalan melaksanakan amanahNya.

Pelajar yang ada di depan mata sekarang ini, perbetulkanlah semampu yang boleh agar semuanya berjaya. Tidak ada profession lain selain guru yang mampu menikmati kenikmatan hidup apabila melihat kesemua pelajarnya berjaya. Lebih-lebih lagi jika seseorang pelajar yang dikategorikan pelajar lemah itu berjaya mengecapi kejayaan.
Manakala guru yang mengajar di Tadika dan tahun satu, inilah masanya kita menyusun kembali langkah sumbang yang terbawa sebelum ini dengan menanam tekad baru agar kesemua pelajar kita, yang bakal mewarisi pentadbiran negara tercinta mendapat pendidikan yang berkualiti.

Guru-guru yang berilmu, yang telah dilatih cara mengajar anak didiknya perlulah berganding tenaga dan menanam azam baru bahawa mereka memang dilahirkan untuk menjadi pendidik dan janganlah hendaknya kita berhutang dengan Tuhan dan masyarakat atas kegagalan memikul amanah yang diberi.

Tidak dapat dibayangkan, seandainya kesemua guru yang ada di bumi bertuah ini mampu memikul amanah Tuhan, maka aura mereka terpancar menerangi setiap bilik darjah dan mampu merubah senario pendidikan negara.

Pengajaran menjadi aktif, menarik minat murid untuk belajar dan nyata masalah ponteng sekolah dapat diatasi kerana semua murid minat untuk ke sekolah. Malahan kesan perubahan guru bakal mencorak pelajar yang positif melalui pendekatan guru yang lebih mesra dan peka terhadap setiap pelajarnya.

Guru yang mesra dan positif sentiasa menjadi role model kepada pelajar dan dengan itu mudah untuk mendekati pelajar yang bermasalah kerana berjaya menimbulkan rasa hormat mereka kepada kita.

Kekayaan Malaysia adalah kerana adab dan sopan santun masyarakatnya yang berbilang bangsa. Guru jugalah yang mampu mencorakkan integrasi kaum yang jitu dan masa depan negara berada di tangan guru.

Dengan landasan kukuh yang dibina oleh pucuk pimpinan negara, pengisiannya oleh generasi akan datang yang diasuh oleh guru-guru merupakan penentu kejayaan dan halatuju negara. Apalah ertinya pembangunan negara yang pesat jika isinya hanyalah penduduk yang kurang ilmu pengetahuan dan dirundung masalah sosial yang meruncing.
Jika guru berjaya mengubah sikap generasi ini, maka kerajaan dapat menjimatkan belanja daripada memperuntukkan sejumlah wang untuk memperbaiki perpaduan nasional dan mengatasi gejala sosial.

Begitulah hebatnya sumbangan yang boleh dilakukan oleh guru. Namun demikian impian ini hanya akan tinggal impian jika pihak sekolah tidak memainkan peranan yang berkesan untuk memotivasikan guru-guru dan menandatangani permuafakatan bersama.
Guru-guru merupakan aset terbilang negara dan tanpa guru yang berkualiti maka negara menghadapi kesukaran untuk ditadbirkan dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk memperbetulkan keadaan.

Mengapa kita tidak bermula sekarang, bertekad dengan slogan “Malaysia Boleh” dan laungkan kepada pucuk pimpinan negara bahawa golongan guru akan terus membekalkan produk yang berkualiti setiap tahun.Bertitik tolak dari impian kejayaan ini, maka unsur-unsur luaran yang pada awalnya sering dipersalahkan oleh guru diharapkan akan mula membuat penilaian kembali dan memberi sumbangan positif kearah membantu guru-guru menjayakan segala objektif mereka.

Sekolah akan menjadi sebuah institusi yang disanjung semula oleh masyarakat dan dengan disiplin guru yang tinggi dan mesra, akan memartabatkan kembali pendidikan negara yang kian pudar dimata masyarakat. Berbanggalah menjadi warga guru yang bakal membuka lembaran baru institusi pendidikan dan bersama-sama merialisasikan kepimpinan Perdana Menteri yang baru yang berharap agar integrasi nasional dijadikan agenda utama negara.

Yang nyatanya, impian ini akan tinggal impian jika seorang guru tidak menyedari bahawa dia dilahirkan di dunia ini sebagai khalifah dan tugasan yang diberikan kepadanya ialah untuk mendidik manusia.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

Lawatan ke rumah pelajar

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK