Lawatan ke rumah pelajar

Semalam saya berjumpa dengan bekas anak murid saya setelah 18 tahun tidak berjumpa. Namanya Hafiz. Saya mengajar Hafiz sewaktu dia berada di darjah 1. Beliau menemui saya di facebook dan lantas menghubungi saya. Jadi malam tadi atas usaha Hafiz,kami berjumpa.

Saya berbangga kerana dia kini telah berjaya. Selain menjadi seorang jurutera, beliau juga membuka pusat tuisyen.

Yang menyebabkan saya berasa lebih berbangga, kerana dia berhasrat untuk berjumpa saya kerana dia merasa perlunya berjumpa dan bertanya khabar kepada bekas gurunya. Saya merasa sungguh tersentuh kerana bekas pelajar saya semasa di darjah 1 masih mengingati saya. Sungguh terharu.

Kami bercerita panjang dan cuba mengingati kisah silam. Saya ditemani isteri saya dan kami bertiga berterusan bercerita sehingga jam 12 malam di kedai mamak.
Saya berbangga kerana bukan sahaja dia bejaya dalam kerjaya, tetapi amat berbangga kerana dia pandai menghormati bekas gurunya. Inilah nikmat sebenar seorang guru. Melihat bekas pelajarnya menjadi seorang insan yang memiliki interpersonal yang tinggi. Kejayaan beliau disebabkan oleh hasil asuhan kesemua guru dan pensyarah beliau, serta ibubapanya sendiri yang mempunyai keperibadian amat menarik dan berjaya membentuk anak yang soleh. Kesemua adik beradiknya berjaya dalam kehidupan dan amat menghormati orang tua.

Secara tiba-tiba diwaktu rancak berborak, saya terkilan tentang satu perkara yang tidak dapat saya lakukan sewaktu saya mengajar dahulu. Saya gagal mendekati keluarga pelajar saya yang lain-lain.

Saya merasakan alangkah baiknya sewaktu saya mengajar dahulu, saya berkesempatan melawat ke rumah setiap pelajar saya dan mendekati keluarga mereka. Jika waktu ini saya masih lagi merupakan seorang guru sekolah, sudah pasti saya tidak akan melepaskan kesempatan mendekati keluarga pelajar secara langsung. Saya akan menziarahi rumah setiap pelajar saya untuk mengenali ahli keluarga mereka dengan lebih dekat terutama ibu bapa mereka. Tapi sayangnya, masa telah berlalu dan saya telah melepaskan peluang tersebut.

Mengapa saya rasa pentingnya untuk para guru menziarahi dan mengenali keluarga pelajar?

Soal kepercayaan. Terdapat sebilangan ibubapa masa kini yang telah mula hilang kepercayaan terhadap guru dan sekolah. Dewasa ini ramai ibubapa yang sangat skeptikal dengan guru-guru kerana mereka hanya mendengar cerita dari anak mereka sendiri tanpa menjalankan siasatan lanjut. Maka hubungan sekolah dan ibubapa tersebut menjadi renggang. Aktiviti yang dijalankan tidak mendapat kerjasama dari ibubapa.

Masa kini, kebanyakan ibubapa berpeluiang untuk berjumpa dengan guru pada mesyuarat agong PIBG, itupun tidak semua yang hadir. Ataupun berjumpa jika ada hari-hari pertemuan yang lain di sekolah. Maksudnya hubungan itu menjadi sangat formal. Banyak kelebihannya jika para guru meluangkan masa menziarahi keluarga pelajar mereka dirumah. Kita akan dapat mewujudkan satu hubungan secara langsung dengan ibubapa pelajar. Ini akan menyebabkan mereka mempercayai bahawa guru bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik yang diamanahkan Tuhan. Maka kita berjaya menarik kepercayaan ibubapa terhadap golongan guru serta sekolah.

Walaupun kita hanya menziarahi sekali setahun, sudah cukup untuk menimbulkan rasa hormat ibubapa kepada guru-guru. Jika semua guru menjalankan aktiviti ziarah ini, maka secara tidak langsung kita dapat mempengaruhi komuniti setempat untuk bekerjasama dalam membangunkan agenda pendidikan. Ibubapa akan melihat guru-guru sebagai kawan berbanding dengan segelintir ibubapa yang menjadikan para guru sebagai musuh mereka.

Kepada para guru semua, saya berharap agar kita dapat mencari masa untuk menziarahi rumah keluarga pelajar kita demi untuk mendekatkan lagi hubungan silaturrahim dan sebenarnya percayalah, ibubapa akan sangat menghargai kunjungan kita walaupun ia hanya berkisar pada soal umum dan hanya mengambil masa setengah jam.

Comments

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK