Bengkel Inovasi Sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010
Zulfadzli Haron menerangkan sesuatu kepada peserta bengkel Zull Design Autotronic dan Utusan Malaysia sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, semalam.
Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi dapat sambutan baik
KOTA KINABALU 28 Mei - Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi anjuran Utusan Malaysia yang julung kali diadakan di negeri ini hari ini mendapat sambutan menggalakkan dan respons positif daripada para peserta.
Bengkel yang dikendalikan oleh Zull Design Autotronic (ZDA) itu telah berjaya menarik perhatian kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti pelajar, ibu bapa, guru, penjawat awam dan pekerja swasta.
Rata-rata peserta bengkel sehari bermula 8.30 pagi hingga 5 petang itu, menyifatkan pengisian bengkel oleh Pengarah Latihan ZDA, Zulfadzli Haron telah membuka minda mereka dalam memahami asas inovasi.
Mereka menyatakan penerangan yang diberikan begitu jelas dan mudah difahami sehingga membina keyakinan dan minat untuk mencipta inovasi.
Malah, ada antara peserta begitu teruja dan terkejut bukan sahaja dengan inovasi ciptaan ZDA tetapi penerangan yang mampu memberi pemahaman hanya dalam masa yang singkat.
Seorang peserta, Fenytinytha Jarita, 17, berkata penerangan dan praktikal yang diberikan serentak memudahkan dia dan rakannya dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu di sini memahaminya.
"Saya terkejut kerana penerangan yang diberi begitu mudah dan ringkas membuatkan saya berasa begitu senang untuk memahaminya.
"Meskipun pernah belajar mengenai beberapa perkara ini di sekolah tetapi penerangan di sini yang diiringi praktikal membuatkan lebih senang difahami berbanding di sekolah yang banyak tertumpu kepada teori," katanya.
Bengkel Rakan Inovasi merupakan sebahagian daripada Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) Zon Sabah yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Universiti Malaysia Sabah.
Karnival bertemakan Meraikan Kreativiti diisi dengan pelbagai program antaranya pameran inovasi, pertandingan inovasi, malam kreativiti muzikal, ceramah interaktif, bengkel, pemadanan perniagaan dan juga pengumpulan idea mengenai produk inovasi.
Seorang suri rumah, Sabariah Hamid, 43, menyifatkan bengkel seperti ini amat berfaedah kepada semua peringkat umur dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
Katanya, bengkel tersebut merupakan platform terbaik kepada ibu bapa untuk berdamping dan berusaha mendidik anak-anak mereka mencapai kecemerlangan.
"Sebaik sahaja mengetahui mengenai bengkel yang akan dikendalikan olel Zull Design ini saya telah mengajak semua empat orang anak saya untuk mengikuti bengkel ini.
"Saya melihat ia sebenarnya memberi banyak manfaat dan terbukti anak-anak saya begitu gembira dan semakin bersemangat untuk belajar," katanya.
Dalam pada itu seorang peserta cilik, Shaireel Shahrume Shazrey S. Durai, 10, berkata, bengkel ini begitu menyeronokkan dan begitu senang untuk difahami.
"Bengkel ini memang seronok dan sekarang saya boleh menunjukkan kepada rakan saya cara memasang suis lampu dan lain-lain yang diajar," katanya.
Dalam pada itu Zulfadzli berkata, bengkel itu bertujuan menarik minat masyarakat dalam bidang reka cipta dengan memberi fokus kepada aktiviti teori dan praktikal.
Katanya, ia dilihat sebagai platform pendidikan teknikal untuk memupuk minat serta membimbing masyarakat ke arah menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.
Comments
Post a Comment