MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
FOKUS BAJET 2012 DALAM BIDANG INOVASI
Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta ringgit seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;
Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.
Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.
Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun
salam ziarah
ReplyDeleteterima kasih kerana menziarah...
ReplyDelete