Bagaimana Inovasi Bermula
Manusia yang hidup pada peringkat awal kewujudan manusia
merupakan manusia yang sangat hebat. Kehebatan mereka adalah kerana kemampuan
mereka menghadapi cabaran untuk hidup. Cabaran utama kepada kehidupan ialah
untuk terus memastikan mereka hidup. Bagi memastikan mereka terus hidup, mereka
memerlukan tenaga. Tenaga tersebut datangnya daripada makanan. Tidak
keterlaluan untuk dirumuskan bahawa perjalanan kehidupan mereka pada waktu itu
adalah menjurus kearah mencari makanan. Mereka perlukan makanan untuk memastikan
mereka terus hidup.
Untuk mendapatkan makanan maka mereka perlu mencari benda
yang boleh dimakan. Melalui pengalaman maka mereka telah mengenalpasti apa yang
boleh dimakan dan apa yang memudaratkan. Kemungkinan pada peringkat awal makanan
utama mereka hanyalah sumber yang berasal daripada daging. Untuk mendapatkan
daging ini maka mereka perlu memburu, memancing, menjerat dan sebagainya.
Peralatan yang digunakan merupakan hasil ciptaan masing-masing. Mereka sentiasa
mempertingkatkan potensi peralatan bagi memudahkan proses mendapatkan makanan.
Setelah lama hidup memburu, perolehan terhadap bekalan daging ini menjadi
semakin tertekan akibat daripada faktor seperti musim dan juga persaingan
memburu dikawasan yang sama. Bagi mengatasi masalah tersebut, maka usaha untuk
membela haiwan tersebut telah dijalankan. Bermulalah era penternakan bagi
memastikan bekalan daging sentiasa berterusan.
Selain daripada itu, penemuan makanan berasaskan
tumbuh-tumbuhan serta karbohidrat semakin popular. Bermula dengan pencarian
sumber didalam hutan, manusia pada zaman itu mula mengaplikasikan konsep
menanam semula untuk menjamin bekalan konsisten seterusnya bermulalah konsep
pertanian.Kawasan pertanian dan penternakan menjadi semakin besar dan pelbagai
kaedah penjagaan ditemui.
Nyata, mereka merupakan perekacipta kepada ketamadunan yang
kita alami pada hari ini. Apa yang telah mereka hasilkan pada waktu tersebut
merupakan asas kepada teknologi pada hari ini. Itulah inovasi sebenar. Tanpa
memerlukan sebarang galakan inovasi, mereka berterusan menghasilkan inovasi
kerana ianya menentukan kesinambungan hidup. Mereka terpaksa berinovasi untuk
mempermudahkan kehidupan mereka.
Justeru, inovasi itu sebenarnya merupakan salah satu sikap
manusia bagi memastikan kelangsungan hidup.
Comments
Post a Comment