HUKUM ALAM

Hukum Alam tidak pernah salah sejak diturunkan manusia yang pertama ke dunia ini hinggalah ke hari ini. Diantara hukumnya yang terpenting ialah kenyataan bahawa setiap insan amat berkait rapat dan saling bergantungan antara satu sama lain. Tidak ada perbezaan diantara mereka dari segi hak untuk mengecap kehidupan di dunia ini. Tidak ada yang kaya atau miskin tetapi yang ada hanyalah toleransi dan pengorbanan.
Biodiversiti ini memerlukan toleransi manusia untuk ditadbir. Hubungan manusia dengan manusia adalah elemen penting dalam memastikan bagaimana mereka meneruskan hidup di alam ini. Setiap manusia tersebut pula mempunyai pancaindera yang sama bentuknya tetapi berbeza daripada sudut seperti saiz yang dapat dibandingkan secara zahir dengan mata kasar.

Bukanlah kuasa manusia untuk menentukan bagaimana mereka hendak dizahirkan tetapi semuanya telah ditentukan oleh Tuhan. Manusia hanya dapat menerima apa yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka. Ada juga yang dijadikan tanpa pancaindera yang lengkap. Rahsia Tuhan.

Agak mudah untuk memahami dan menginsafi serta bersyukur dengan kurniaan pancaindera yang diberikan kepada kita untuk mencari ruang dalam kehidupan di muka bumi ini. Kita mudah juga memujuk hati menerima rupa bentuk yang dizahirkan apabila kita membandingkan dengan mereka yang tidak dikurniakan dengan pancaindera yang lengkap.
Kepelbagaian saiz membolehkan masing-masing menggunakan kelebihan mereka bagi melaksanakan sesuatu tugas. Saiz tidak dapat dinafikan secara tidak langsung menentukan kekuatan atau kelemahan seseorang manusia. Disebabkan perbezaan pada saiz tersebut maka kelompok manusia yang dijadikan paling awal untuk hidup di muka bumi ini semenjak dahulukala lagi telah memilih untuk melakukan pekerjaan yang bersesuaian berdasarkan kepada kemampuan mereka. Maka terbentuklah kerja-kerja yang mampu dilaksanakan oleh golongan lelaki dan kerja-kerja yang mampu dilaksanakan oleh golongan perempuan.

Tatkala lelaki pada zaman tersebut memiliki saiz dan kekuatan yang lebih daripada perempuan maka kerja-kerja yang memerlukan kekuatan fizikal diserahkan kepada golongan lelaki seperti berburu, menebang pokok untuk mencari kayu api dan menghalau binatang buas.Golongan perempuan pula menyumbang tenaga mereka yang lebih lembut kearah tugas-tugas ringan seperti memasak, mengemas dan sebagainya.

Bertitik tolak daripada pengklasifikasian tersebut sehinggalah pada masa kini, manusia mewarisi status quo yang diacu selama beribu tahun lamanya. Seandainya pada waktu tersebut golongan perempuan bertindak untuk memburu dan lelaki pula memasak, kemungkinan corak tersebut diwarisi hingga ke hari ini adalah juga amat besar. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Tetapi ianya tidak terjadi kerana secara bijaksana Tuhan menjadikan perbezaan antara setiap manusia atas mukabumi ini untuk tujuan yang tertentu.

Selain pancaindera, manusia juga dibekalkan dengan akal dan nafsu. Akal dan nafsu juga berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain tetapi sukar untuk dikenalpasti perbezaan mereka kerana ianya tidak memiliki zahir yang dapat dilihat dengan mata kasar. Akal dan nafsu dalam diri setiap manusia akan mendorong kepada berlakunya perbuatan, sikap dan tingkahlaku diri mereka bergantung kepada cara bagaimana akal dan nafsu dikawal.

Selain daripada faktor di atas yang membezakan antara seorang manusia dengan manusia yang lain, satu lagi fakta yang agak menarik untuk dibincangkan ialah perbezaan takdir, satu ciptaan Tuhan yang amat istimewa dan tidak kesampaian oleh kebijaksanaan manusia untuk menghuraikannya secara terperinci.

Gabungan elemen-elemen yang dimiliki oleh setiap manusia secara saksama tetapi berbeza daripada segi keupayaan seperti dihuraikan di atas perlu dikupas secara teliti dan matang untuk mengelakkan salah faham terhadap fahaman agama yang dianuti oleh pembaca yang berbeza jika ada. Oleh itu perbincangan adalah berbentuk umum sahaja bagi mengelakkan kontroversi.

Perbincangan daripada sudut hubungan antara manusia dengan manusia ini akan melihat hubungan di antara faktor-faktor perbezaan yang disebutkan tadi iaitu pancaindera, akal, nafsu dan takdir. Belum ada saintis atau ahli falsafah di dunia ini yang berjaya menghuraikan fenomena kejadian tersebut secara terperinci kerana fikiran manusia tidak akan mencapai tingkat rahsia Tuhan seperti firman Tuhan:
“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
(Surah Al-Baqarah: Ayat 30)

Sebagai manusia kecil yang akur dan sujud kepada kebesaran Tuhan, kita perlu bersyukur kerana dikurniakan akal agar dapat kita berfikir. Tetapi akal kita juga mempunyai had dan keupayaan tertentu dan tidak berkuasa untuk melebihi garisan yang ditetapkan. Maka tidak perlulah kita berbicara tentang faktor-faktor tersebut secara mendalam tetapi cukup sekadar mencedok secukup rasa buat rangsangan minda pembaca mengikut keperluan yang berkaitan dengan perjuangan guru.

Apakah perbezaan antara seorang manusia dengan manusia yang lain? Jawabnya terlalu banyak perbezaan kerana soalan ini terlalu umum. Kita boleh memecahkan soalan tersebut kepada beberapa elemen dan sub elemen serta yang berbentuk zahir mahupun batin. Diantaranya pula terdapat elemen-elemen lain seperti perbezaan jasmani, emosi, rohani, intelektual serta spiritual meliputi faktor yang boleh dibincangkan.
Umum telah sedia maklum tentang bagaimana setiap manusia dilahirkan hasil percantuman antara lelaki dan perempuan. Setelah sembilan bulan dalam kandungan maka seorang manusia baru akan wujud bagi menambah bilangan populasi manusia dalam dunia yang telah mencecah bilion.Bayi yang baru lahir tersebut memiliki anggota dan pancaindera yang telah ditentukan fizikalnya untuk mendapat bentuk yang khusus agar dapat diklasifikasikan sebagai manusia.

Ringkasnya, fakta tersebut boleh difahami melalui analogi antara tumbuhan dan manusia. Bagaimana tumbuhan hendak hidup jika manusia enggan mengeluarkan karbon dioksida. Bagaimana manusia hendak hidup jika tumbuhan enggan mengeluarkan oksigen? Ataupun hubungan sesama manusia contohnya peniaga dan pembeli.

Tapi mengapa manusia mudah lupa pada hukum alam dan apakah punca sebenar yang menjengkelkan tahap pemikiran manusia.

Apa yang membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain hanyalah ciptaan manusia sendiri. Sikap tamak dalam diri melahirkan kekacauan berpunca daripada cemburu dan iri hati. Manusia berlumba-lumba merebut tempat di ruang yang semakin sempit. Manusia menjadi lupa betapa kehidupan sementara ini memerlukan persefahaman dan toleransi serta hidup bantu-membantu dengan penuh kasih sayang.

Cuba kita bayangkan seandainya para petugas yang mencari rezeki dengan mengutip sampah dari rumah ke rumah bertindak mogok selama setahun. Mampukah kita hidup dengan sempurna apabila kita terpaksa menambah tugas harian kita dengan mengangkut sampah sarap harian ke satu destinasi yang busuk pada setiap hari. Setakat mana kesabaran kita bertahan untuk memikul tugas tersebut.

Bagaimana pula dengan petugas yang mencuci saluran najis dan lain-lain tugas yang dikelaskan manusia sebagai kelas bawahan? Tanpa mereka ini adakah kita mampu hidup dengan aman dan bahagia seperti yang dikecapi pada hari ini.

Alangkah perit kehidupan ini bagi mereka yang berkorban demi kebahagiaan orang lain. Tapi itu semua hukum alam yang tidak boleh dipersalahkan. Bukan sebagai satu alasan untuk menutup kelemahan tetapi sebagai satu agenda dan peringatan kepada golongan guru bahawa nilai wang dan kekayaan bukanlah objektif utama kehidupan ini.

Matlamat utama kehidupan kita ialah mencari kebahagiaan hidup. Kebahagiaan tidak boleh dicapai secara optimum sekiranya kita tidak memahami hukum alam yang sebenar. Kebahagiaan adalah milik semua tidak kira warna kulit atau darjat. Inilah wadah perjuangan seorang guru yang perlu menjadi pegangan selama mana mereka hidup untuk berjuang.

Guru-guru sewajarnya menjadi peneraju terhadap keseimbangan hak manusia yang termaktub dalam hukum alam. Pelbagai ragam manusia di muka bumi ini dengan 1001 nasib yang berbeza adalah kejadian Tuhan semata-mata. Manusia mungkin akan dijadikan sama rata nasib mereka apabila mereka berada di syurga apabila tiada lagi insan yang merempat dan melarat malahan semuanya hidup dalam kemewahan mengikut apa yang terkandung dalam kitab-kitab suci.

Rahsia Tuhan mencipta manusia dan diturunkan ke muka bumi ini bukanlah satu ciptaan yang sia-sia tanpa tujuan. Makhluk yang bergelar manusia ini berbeza daripada ciptaan Tuhan yang lain kerana ia dikurniakan dengan akal dan nafsu untuk hidup zahir di alam nyata.

Tuhan menyatakan kemuliaan penciptaan manusia berbanding dengan makhluk ciptaanNya yang lain dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian”
(Surah at-Tin: Ayat 4)

Sebagai makhluk yang zahir kehidupannya dan memiliki akal serta nafsu, manusia mendominasi muka bumi ini untuk memenuhi nafsu mereka untuk hidup. Nafsu yang tidak dikawal seringkali tunduk kepada godaan penyelewengan yang membawa kepada pengambilan hak manusia lain.

Anak didik kita perlu dididik dengan penuh makna dan keikhlasan yang datangnya dari dalam hati kita. Mereka perlu dibentuk untuk melihat dengan mata sendiri dan menyelamatkan keadaan, jika tidak untuk seluruh dunia tetapi untuk negara kita yang tercinta.

Tuhan menganugerahkan Malaysia dengan warna-warni masyarakat majmuk di tanah yang subur. Tanah ini akan terus subur jika anak-anak ini dibentuk dengan suatu nilai harmonis yang ditunjangi oleh guru-guru sendiri.

Namun apa yang terjadi pada hari ini sungguh mengharukan. Maruah guru diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya oleh masyarakat yang rata-ratanya pernah dididik oleh insan bernama guru. Tambah mengharukan keadaan apabila maruah tersebut direntap oleh warga guru sendiri yang tidak mampu menggunakan akal fikiran dan bertindak mengikut nafsu.

Dimanakah jatidiri guru-guru sebagai insan yang hebat dan dihormati pada suatu masa dahulu? Persoalan perbandingan ini seringkali dijawab dengan nada sumbang guru-guru masakini dan tekanan kehidupan menjadi teras dalam jawapan mereka.Bandingan jawapan yang diberi oleh guru-guru terhadap persoalan tersebut membolehkan perbandingan individu dibuat untuk mengkategorikan jatidiri mereka samada seorang guru yang unggul ataupun hanya guru yang tunggul.

Sebagai seorang guru sejati, mereka akan terus tersenyum dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan sambil dihatinya tersemat seribu satu kecintaan kepada tanggungjawab. Mereka akan terus mendidik tanpa sebarang perasaan benci dan dendam di dalam hati dalam sebarang keadaan.

Melihat kepada keadaan masakini, benarkah terdapat guru-guru yang mampu tersenyum dan terus menggenggam amanah mereka walau dihentam kiri dan kanan berhubung masalah yang melanda?

Mungkin sebahagian besar guru-guru akan merasa sinis terhadap penulisan ini kerana mereka berpendapat permasalahan guru-guru di negara ini tidak ada penghujungnya. Benar sekali pendapat mereka kerana permasalahan perguruan dalam negara ini terlalu banyak diperbincangkan tetapi tidak menarik minat para guru untuk mencari penyelesaiannya.

Pihak Kementerian Pelajaran atau mana-mana badan sekalipun tidak akan mampu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang diwarisi dari tahun ke tahun kerana punca sebenar tidak diungkai. Punca kepada segala permasalahan ini sebenarnya terlalu hampir malahan hadir dalam diri guru-guru namun tiada siapa yang berani menjadikannya sebagai ibu kepada segala punca.

Oleh itu, bLOG ini memikul tanggungjawab untuk mendedahkan ibu kepada segala punca tersebut memandangkan keyakinan saya terhadap kajian yang dilakukan malahan saya merasa berdosa untuk menyembunyikan persoalan sebenar dan atas dasar inilah maka buku ini ditulis semata-mata untuk memastikan setiap guru akan menghormati kesucian tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan kepada dirinya.

Disinilah letaknya kedudukan seorang guru di dalam kitaran hidup yang diperlukan mengikut hukum alam, iaitu insan yang bertanggungjawab untuk mendidik manusia lain. Berat. Terlalu berat tetapi hukum alam tidak pernah salah.

Topik seterusnya akan mengungkai dilema guru-guru yang sebenarnya kekeliruan dek alam yang menjerut kehidupan menjadi kemelut dalam hukum tersendiri. Kritikan akan menjadi manis seandainya ia difahami dan diselidiki dengan penuh rasa kemahuan untuk membina diri dan memperbetulkan kesalahan.

Jadikanlah alam ini sebuah taman yang harmonis dan membanggakan lebih-lebih lagi untuk kita meninggalkan satu kenangan abadi kepada generasi pewaris alam yang seterusnya.

Comments

  1. Artikel yang amat membina. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua. Syabas

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

JADUAL WAKTU ANJAL

Lawatan ke rumah pelajar

PERBEZAAN MENGAJAR DAN MENDIDIK